Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Ahad, 13 September. - Seramai 50 peserta yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur telah menyertai Kejohanan Rentas Desa 2026 anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lamunin yang berlangsung pagi tadi bermula di Pusat Kemasyarakatan Dataran Gong Tiga, Kampung Lamunin, Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Kejohanan berkenaan melibatkan laluan rentas desa sejauh 14 kilometer (km) dengan mempertandingkan sebanyak lima kategori, iaitu Kategori Lelaki Bawah 25 Tahun (Remaja), Kategori Lelaki Bawah 50 Tahun, Kategori Lelaki 50 Tahun Ke Atas, Kategori Perempuan Terbuka dan Kategori Perempuan 50 Tahun Ke Atas.
Penganjuran Kejohanan Rentas Desa 2026 berkenaan bertujuan untuk menggalakkan masyarakat setempat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif melalui penglibatan dalam kegiatan sukan dan riadah, di samping meningkatkan tahap kecergasan serta daya tahan fizikal.
Di samping itu, acara berkenaan juga menjadi wadah bagi memupuk semangat kesukanan, disiplin dan daya saing secara sihat dalam kalangan para peserta.
Selain itu, penganjuran kejohanan berkenaan turut menyediakan ruang kepada penduduk kampung daripada pelbagai peringkat umur untuk sama-sama melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang sihat, bermanfaat dan inklusif.
Penglibatan masyarakat dalam acara berkenaan juga dapat mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat kekıtaan dalam kalangan penduduk setempat.
Penganjuran aktiviti seumpama berkenaan mencerminkan komitmen MPK Lamunin dalam menggalakkan penglibatan aktif masyarakat di peringkat akar umbi melalui pelaksanaan pelbagai kegiatan yang menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.
Di samping menggalakkan amalan hidup sihat, acara berkenaan turut diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjadikan aktiviti sukan dan riadah sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan seharian.
Kejohanan berkenaan juga menjadi salah satu platform untuk menghidupkan suasana kemasyarakatan di Kampung Lamunin serta menggalakkan kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menjayakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.