Pameran Republik India ketengahkan budaya, masakan, kreativiti

20 Sep 2026 - 5:11am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

SALAMBIGAR, Sabtu, 19 September. – Dalam usaha membarigakan keindahan dan kekayaan warisan budaya, masakan, tradisi, kraf tangan, produk serta seni persembahan Republik India, Suruhanjaya Tinggi Republik India di Negara Brunei Darussalam (NBD) telah membuka tirai sebuah acara Namaste Brunei 2026 – The Great Indian Bazaar bertempat di Pusat Membeli-belah OneCity, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan sekali gus menyempurnakan sesi perasmian acara berkenaan, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah yang dialu-alukan oleh Pesuruhjaya Tinggi Republik India ke NBD, Tuan Yang Terutama Ramu Abbagani.

Acara yang berlangsung selama dua hari sehingga esok berkenaan menampilkan kira-kira 50 pengusaha tempatan dan juga dari Republik India dengan mempamerkan pelbagai jenis masakan, produk, kraf tangan, tekstil, tawaran kesejahteraan serta pengalaman budaya Republik India, sekali gus membawakan cita rasa Republik India kepada para pengunjung.

Selain bazar berkenaan, para pengunjung juga boleh menikmati pelbagai persembahan pentas oleh ahli komuniti Republik India dan penghibur tempatan NBD, yang mempamerkan kepelbagaian seni persembahan Republik India daripada tradisi tarian Bharatanatyam yang penuh keanggunan hinggalah kepada persembahan lagu-lagu popular Bollywood yang rancak.

Menariknya, acara berkenaan turut merangkumi tayangan dua filem popular Republik India berjudul ‘Kabhi Khushi Kabhie Gham’ dan ‘RRR’ di One Cineplex, pusat membeli-belah berkenaan.

Dengan adanya penganjuran acara penuh kemeriahan berkenaan, ia sememangnya bertujuan untuk menyediakan detik-detik dan pengalaman berharga kepada para pengunjung dalam merasai sendiri pengalaman menyaksikan pameran budaya, masakan serta kreativiti Republik India.

Di samping itu, ia juga dihasrat bagi sama-sama meraikan hubungan budaya yang telah lama terjalin serta hubungan erat antara rakyat Republik India dan NBD.