Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
TUTONG, Jumaat, 6 November. - Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V (SKBD Ke-V), Tahun 2026 diteruskan lagi hari ini bagi acara bola jaring yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Tutong, pagi tadi.
Pada pertandingan bola jaring ini, pasukan Daerah Brunei dan Muara berjaya menewaskan pasukan Daerah Tutong dengan keputusan 60-30. Manakala pasukan Daerah Belait pula tewas kepada pasukan Daerah Temburong dengan keputusan 28-55.
Sementara itu, perlawanan antara pasukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MSSSBD) dan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) menyaksikan kemenangan berpihak kepada MS ABDB dengan keputusan 69 – 37. Manakala pasukan Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (MS PPDB) terpaksa akur dengan kekalahan kepada pasukan Daerah Tutong dengan keputusan 30 – 41.
SKBD merupakan kejohanan peringkat kebangsaan yang menjadi wadah menghimpunkan atlet daripada seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan.
Kejohanan berkenaan juga berperanan sebagai platform untuk mengenal pasti bakat atlet yang berpotensi, khususnya dalam kalangan belia, sebagai persediaan mewakili negara ke kejohanan sukan berprestij di peringkat serantau dan antarabangsa.
Penganjuran SKBD pada tahun ini merupakan kali kelima sejak ia mula diadakan pada 2012.
Bertemakan ‘Bersama Mengejar Kegemilangan‘, SKBD Ke-V menekankan semangat kebersamaan dalam mencapai kecemerlangan sukan melalui kerjasama, perpaduan dan semangat kesukanan.
Kecemerlangan sukan bukan sahaja menjadi kebanggaan bersama, malah berperanan sebagai wadah menyatupadukan masyarakat serta menyumbang kepada pembentukan negara yang harmoni, maju, berdaya saing dan gemilang.