Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
GADONG, Sabtu, 12 September. - Kejohanan Bola Keranjang antara Sekolah Aewon PPE Ke-4 berlangsung dari 31 Ogos hingga 20 September 2026, bertempat di gelanggang Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA), Batu Bersurat, disambung semula minggu ini selepas beberapa perlawanan yang dijadualkan pada minggu lalu ditunda berikutan keadaan cuaca berjerebu.
Sehubungan itu, dua perlawanan dilangsungkan malam tadi menyaksikan pertemuan antara International School Brunei (ISB) dengan St. George's School dan St. Andrew's School dengan Chung Hwa Middle School Bandar Seri Begawan (CHMS BSB).
ISB mempamerkan kekuatan serangan yang mantap sejak awal permainan dan akhirnya mencatat kemenangan besar 73-19 ke atas pihak lawan.
Kejohanan anjuran BBA dengan sokongan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan itu melibatkan 10 buah sekolah dalam kategori Lelaki Bawah 18 Tahun (U-18), manakala enam buah sekolah menyertai kategori Perempuan Bawah 18 Tahun.
Bagi kategori Lelaki U-18, Kumpulan A terdiri daripada ISB, CHMS BSB, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB), Chung Ching Middle School Seria dan St. Andrew's School.
Sementara itu, Kumpulan B menampilkan Jerudong International School (JIS), Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB), St. George's School, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (MSPSBS) dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMSMJA).
Bagi kategori Perempuan U-18 pula, St. Andrew's School, JIS dan CHMS BSB berada dalam Kumpulan A, manakala ISB, St. George's School dan MDPMAMB bersaing dalam Kumpulan B.
Kejohanan tahun ini turut memperkenalkan kategori 3×3 Lelaki dan 3×3 Perempuan yang telah berlangsung pada 6 September 2026 di gelanggang BBA.
Sebanyak 11 pasukan menyertai kategori 3×3 Lelaki, iaitu ISB, CHMS BSB, MDPMAMB, Chung Ching Middle School Seria, CHMS Kuala Belait, JIS, PTEB, St. George's School, MSPSBS, SMSMJA dan Sekolah Menengah Muda Hashim (SMMH), Tutong.
Sementara itu, kategori 3×3 Perempuan menyaksikan penyertaan ISB, CHMS BSB, MDPMAMB, MSPSBS, JIS dan St. Andrew’s School.
Tujuan utama penganjuran kejohanan antara sekolah berkenaan adalah untuk memberikan peluang kepada golongan belia memperoleh kemahiran penting dalam kehidupan, termasuk komunikasi, ketabahan dan disiplin melalui persaingan dalam sukan.
Kejohanan tersebut turut mendapat sokongan dan sumbangan daripada Aewon Garment Sdn. Bhd. yang menaja sebanyak BND7,000 kepada BBA.