Rombongan terakhir kontinjen NBD berlepas ke Dakar

4 Nov 2026 - 4:56am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BERAKAS, Selasa, 3 November. – Rombongan terakhir kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terdiri daripada pasukan olahraga pagi tadi bertolak ke Dakar, Senegal bagi menyertai Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026 (4th Youth Olympic Games 2026).

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar dan seterusnya menyampaikan kata-kata motivasi kepada kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haswandi bin Haji Osman.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan nasihat serta kata-kata motivasi kepada kontinjen NBD dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

Turut hadir, para pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan (JBS), wakil Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam serta ahli keluarga atlet.

Pasukan olahraga negara diwakili oleh Muhd. Nazul Putera Faeiz Firdaous @ Muhammad Nazyl Putera Faeiz Syurgawi bin Fakhri Zul Khairi yang akan bertanding dalam acara 200 meter lelaki.

Acara berkenaan dijadualkan berlangsung pada 8 hingga 10 November 2026 di Iba Mar Diop Stadium (CID), Dakar, dan atlet berkenaan diiringi oleh seorang jurulatih.

Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026 merupakan edisi keempat Sukan Belia Olimpik Musim Panas yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 13 November 2026 di Dakar, Senegal.