Berita dan Foto : Ihsan Pasukan Badminton YBs (Yang Bersara) dan PVT (Pension Veteran Team)
BINTULU, Isnin, 2 November. - Pasukan Badminton YBs (Yang Bersara) dan PVT (Pension Veteran Team) dari Negara Brunei Darussalam (NBD) telah mengadakan lawatan muhibah ke Bintulu dan mengadakan Perlawanan Badminton Persahabatan, baru-baru ini.
Rombongan seramai 14 orang yang diketuai oleh Yang Dipertua (Presiden) Pertubuhan WARGAMAS juga selaku Pengerusi YBs, Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd. Don telah dialu-alukan dalam satu Majlis Ramah Mesra oleh Kaum Islam Daerah Bintulu yang diadakan di Dewan Muktamar Kampung Jabai, Bintulu.
Hadir meraikan rombongan ialah Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Bintulu, Ali Hikmatullah Khan Ali Sabri bagi mewakili Pegawai Daerah Bintulu.
Majlis Ramah Mesra dimulakan dengan bacaan doa oleh Awang Bujang Wahab, diikuti dengan ucapan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ketua Kaum Islam Daerah Bintulu, Johny Jimon.
Beliau mewakili pimpinan Bintulu mengalu-alukan kehadiran ketua rombongan dan mengharapkan agar jalinan muhibah akan dapat diteruskan pada bila-bila masa.
Program Majlis Ramah Mesra juga diserikan dengan jamuan makan malam dan persembahan hiburan kedua belah pihak yang menjadi platform kepada kerjasama komuniti antara masyarakat Bintulu Sarawak dan NBD.
Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Bintulu, Datu Seri Tiong King Sing, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan dan Azman Abdul Rahman.
Manakala ketua rombongan NBD, Awang Haji Abu Bakar dalam ucapan balasnya melahirkan rasa bersyukur dan terima kasih atas layanan yang diberikan dan berharap lawatan muhibah berkenaan akan terus menjalin hubungan persaudaraan dan persahabatan yang sangat berfaedah bagi kedua buah negara untuk terus memupuk ukhuwah silaturahim yang terindah dan mulia.
YBs dan PVT juga membuat ‘Infak Mulia’ dan bersedekah seangkat hati semasa Majlis Ramah Mesra.
Lawatan Muhibah tersebut juga dikukuhkan lagi dengan perlawanan badminton persahabatan di sebelah pagi dan malam pada 28 Oktober 2026.
Perlawanan tersebut diuruskan oleh Awang Bahrin dari NBD dan Awangku Abdul Rahman dari Bintulu.
Lawatan dan perlawanan ini telah dapat mencapai maksud dan tujuannya untuk memupuk dan mengukuhkan ikatan ukhuwah silaturahim, berkongsi pengalaman, demi menjaga kesihatan.