Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 September. - Dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kualiti sukan di Sekolah-sekolah Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), tiga buah gelanggang ‘pickleball’ dilancarkan hari ini.
Pembukaan gelanggang berkenaan merupakan hasil inisiatif dan kerjasama antara PGGMB dengan Syarikat Racquet & Company bagi mengembangkan kemahiran dalam sukan ‘pickleball’ khususnya dalam kalangan para pelajar dan warga sekolah.
Antara tujuan utama pembukaan gelanggang tersebut adalah untuk memberi ruang kepada generasi muda dan masyarakat umum menceburi ‘pickleball’ yang kini mendapat perhatian dan sambutan yang menggalakkan di negara ini.
Inisiatif berkenaan juga dihasratkan untuk meningkatkan kualiti sukan dalam kalangan para pelajar di Sekolah-sekolah PGGMB, di samping menggalakkan para guru dan keluarga untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan demi menjaga kesihatan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Selain itu, pembukaan gelanggang berkenaan diharap dapat memperluaskan jaringan positif antara PGGMB dengan masyarakat.
Pengarah Sukan PGGMB, Dayang Suryanti binti Haji Mohd. Noor, berkata pembukaan gelanggang ‘pickleball’ itu merupakan satu inisiatif positif dalam usaha meningkatkan kualiti sukan dalam kalangan para pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat umumnya.
Menurut beliau, PGGMB melihat sukan ‘pickleball’ mendapat sambutan yang sangat baik di negara ini dan perkembangan tersebut turut berpotensi memberikan sumbangan kepada kegiatan ekonomi PGGMB.
Beliau turut menekankan bahawa sukan bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan, malah mampu menyatukan masyarakat serta membentuk generasi yang lebih aktif. “Sukan Menyihatkan, Sukan Menyatukan dan Sukan Membina Generasi,” ujarnya.
Hadir pada majlis pelancaran gelanggang dan demonstrasi sukan ‘pickleball’ tersebut ialah Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri. Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Tertinggi (JKTT), Ahli Jawatankuasa PGGMB, para jemputan serta guru-guru Sekolah PGGMB.
Dengan adanya kemudahan tersebut, sukan ‘pickleball’ diharap akan menjadi antara pilihan dan sukan kegemaran para murid, guru, ibu bapa serta masyarakat umum. Sukan berkenaan dilihat praktikal, menyeronokkan untuk dilakukan bersama keluarga dan sesuai dijadikan sebagai salah satu aktiviti riadah yang sihat.
Para pengguna gelanggang juga diharap akan sama-sama bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan, kemudahan serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan fasiliti berkenaan dapat dimanfaatkan secara berterusan.