Penyerahan bendera kontinjen DBM

5 Nov 2026 - 5:47am

Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 November. - Kontinjen Daerah Brunei dan Muara (DBM) akan menghantar lebih 200 atlet dan petugas, termasuk pengurus serta jurulatih, bagi menyertai kesemua 10 acara yang dipertandingkan pada Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Kali Ke-V, Tahun 2026.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen DBM bagi temasya sukan berkenaan telah berlangsung di Dewan Teater, Jabatan DBM.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan daripada Pegawai DBM, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim selaku Penasihat Kontinjen DBM.

Majlis diteruskan dengan pengenalan baju rasmi kontinjen, sebelum penyerahan bendera kontinjen disempurnakan oleh Pegawai DBM kepada Pemangku Penolong Pegawai DBM, Awang Mohd. Abdul Hadi bin Haji Mohd. Syarifuddin selaku Ketua Kontinjen DBM bagi SKBD Ke-V, Tahun 2026.

Bendera berkenaan seterusnya diserahkan kepada pembawa bendera kontinjen, Awang Kasyful Asymawi bin Haji Khairul Arifin, yang merupakan pemenang pingat emas dalam acara Supercak Track Challenge bagi pencapaian 800 meter.

Majlis turut diselajurkan dengan penyerahan baju rasmi kontinjen DBM kepada pengurus-pengurus acara yang akan bertanding, serta penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada para penaja kontinjen sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan sumbangan yang diberikan.

Hua Ho Department Store & Hua Ho Agricultural Farm adalah penaja bagi baju rasmi kontinjen DBM. Manakala senarai para penaja yang lain terdiri daripada GHK Motors Sdn. Bhd.; Cityneon Displays & Construction Sdn. Bhd.; Mr. Lim Han Chiong (BIOCARE); Kingston Beverage & Creamery Sdn. Bhd.; Printmartz; DCON Sdn. Bhd.; Beauteeleven; Binti Gym; Mikaleeqa Sport Management dan DCS Services Sdn. Bhd.

Penyertaan kontinjen berkenaan diharapkan dapat memberikan semangat kepada para atlet untuk beraksi dengan cemerlang, di samping mengharumkan nama negara dalam temasya sukan kebangsaan tersebut.