Pembukaan Rasmi Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026

2 Nov 2026 - 4:58am

Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026

DAKAR, SENEGAL, Ahad, 1 November. - Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026 (4th Youth Olympic Games 2026) telah diadakan Stade du Senegal Abdoulaye Wade, petang kelmarin.

Acara dimulakan dengan ketibaan Presiden Republik Senegal, Tuan Yang Terutama Bassirou Diomaye Faye, yang seterusnya menyempurnakan pengisytiharan rasmi pembukaan temasya Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026.

Kemudian acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada President Senegal Youth Olympic Games Organising Committee, Mamadou Diagna Ndiaye, diikuti ucapan oleh President of International Olympic Committee (IOC), Kirsty Coventry.

Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) terdiri daripada enam orang, termasuk dua atlet iaitu Dayang Lauren Emily Chua daripada sukan wusyu dan Awang Danniel Chan daripada sukan renang, yang kedua-duanya diberi peluang dan kepercayaan sebagai pembawa Bendera NBD (Flag Bearers).

Kontinjen turut disertai oleh jurulatih-jurulatih dan pegawai urus setia serta diketuai oleh Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen selaku Chef de Mission NBD.

Terdahulu, pada sebelah pagi, latihan atlet diteruskan dan kedua-dua atlet berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk bertanding esok. Semua kontinjen juga diingatkan untuk memastikan tahap hidrasi badan terpelihara dengan minum air secukupnya.

Jadual perlawanan diadakan hari ini, Ahad, 1 November 2026, pukul 10.12 pagi bagi Wusyu Women's Taijishan Combined : Lauren Emily Chua dan pukul 10.30 pagi bagi Swimming Men's 200m Backstroke : Danniel Chan (PB 2:15.62s).