Menggalakkan penglibatan warga sekolah dalam aktiviti sukan

4 Nov 2026 - 4:24am

Oleh : Siti Rokiah AbdullahFoto : Ihsan Sekolah Rendah Tungku

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 3 November. - Seramai 40 guru dan kakitangan Sekolah Rendah (SR) Tungku telah menyertai acara SR Tungku Funbowl 3.0 yang diadakan sempena Sambutan Hari Guru dan Hari Perkhidmatan Awam Ke-33, Tahun 2026.

Acara sukan boling berkenaan berlangsung di Ibowl Utama Bowling Centre, dengan penyertaan sebanyak 10 pasukan yang masing-masing terdiri daripada empat peserta.

Hadir untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Penolong Guru Besar SR Tungku, Dayangku Noorariza binti Pengiran Haji Momin.

Penganjuran acara berkenaan dikendalikan oleh Unit CCA SR Tungku dan merupakan acara tahunan yang kini memasuki tahun ketiga penganjurannya.

Antara tujuan utama acara tersebut diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan warga SR Tungku, khususnya guru-guru dan kakitangan sekolah, di samping mewujudkan suasana mesra, ceria dan penuh semangat kesukanan.

Selain menjadi platform untuk beriadah dan bersuka ria bersama, acara berkenaan juga diharap dapat mengasah bakat serta meningkatkan kemahiran peserta dalam sukan boling.

Penganjuran SR Tungku Funbowl 3.0 mencerminkan komitmen pihak sekolah dalam menggalakkan penglibatan warga sekolah dalam aktiviti sukan dan riadah, sekali gus memupuk semangat kerjasama serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga sekolah.