Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 5 November. - Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) telah mengadakan Mini Marathon SR YSHHB 2026, bertempat di sekolah berkenaan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara berkenaan dan seterusnya merasmikan Mini Marathon SR YSHHB 2026 bagi semua kumpulan serta menyampaikan pingat kemenangan kepada pemenang, Pengetua SR YSHHB, Dayang Hajah Hafizah binti Haji Salat.
Mini Marathon SR YSHHB 2026 berkenaan adalah salah satu aktiviti yang terkandung dalam aktiviti kokurikulum sekolah dan setiap tahun diungkayahkan oleh Unit Kokurikulum sekolah berkenaan.
Pada tahun ini, acara Mini Marathon SR YSHHB 2026 diadakan pada November, iaitu selepas peperiksaan akhir tahun agar para pelajar dan guru dapat mengisi masa lapang dan merehatkan minda dengan aktiviti larian mini berkenaan.
Sasaran penyertaan adalah para pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6 dengan keramaian 1,000 pelajar.
Mini Marathon SR YSHHB 2026 berkenaan dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu Kumpulan ‘A’ bagi Tahun 1 dan Tahun 2; Kumpulan ‘B’ bagi Tahun 3 dan Tahun 4; dan Kumpulan ‘C’ bagi Tahun 5 dan Tahun 6. Setiap kumpulan akan diambil 10 pemenang, iaitu lima daripada pelajar lelaki dan lima daripada pelajar perempuan.
Antara objektif Mini Marathon SR YSHHB 2026 berkenaan ialah bagi menggalakkan pelajar melibatkan diri dengan acara fizikal dan pergerakan badan, membudayakan kehidupan yang cergas dan sihat, melatih pelajar bersaing secara sihat dan selamat, serta mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah.