Majlis Sambutan Atlet Sukan Asia Ke-20

18 Sep 2026 - 6:48am

Siaran Akhbar dan Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Asia Ke-20, 2026

 

NAGOYA, JEPUN, Khamis, 17 September. - Majlis Sambutan Mengalu-alukan para Atlet Sukan Asia Ke-20, Aichi Nagoya 2026 (20th Asian Games Aichi-Nagoya 2026) berlangsung di Garden Pier Villa, di sini.

Majlis dialu-alukan oleh Pemangku Ketua Pengarah, Jawatankuasa Penganjur Sukan Aichi-Nagoya, Naoki Matsui. 

Acara kemudiannya diteruskan dengan upacara menaikkan bendera negara-negara peserta. Bagi sesi ke-6, upacara dimulakan dengan menaikkan bendera negara Republik Rakyat Bangladesh, Negara Brunei Darussalam (NBD), Kemboja, Iraq, Republik Korea Selatan dan Republik Kesatuan Myanmar. 

Kontinjen NBD diwakili oleh 10 orang yang terdiri daripada atlet-atlet wusyu serta pegawai dan jurulatih, dan diketuai oleh Dayang Nur ‘Iffah Natasha Sofea Abdullah, selaku Chef de Mission. 

Majlis berlangsung dengan lancar dan menjadi salah satu acara rasmi dalam persiapan Kontinjen NBD menjelang penyertaan di 20th Asian Games Aichi-Nagoya 2026.

Dalam perkembangan lain, Pasukan wusyu dan atlet karate juga telah memulakan latihan-latihan di ‘venue’ pertandingan. 

Sukan karate akan bermula dari 20 hingga 23 September 2026 manakala sukan wusyu akan bermula dari 20 hingga 24 September 2026. 

Sesi latihan di ‘venue’ pertandingan ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada atlet membiasakan diri dengan suasana, kemudahan dan persekitaran pertandingan, di samping memastikan tahap kesiapsiagaan atlet berada pada tahap yang optimum menjelang hari pertandingan.