Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan
Foto: Ihsan Mohammad Syaiful Bahri Haji Md. Rahim
MIRI, SARAWAK, Selasa, 27 Oktober. – Seramai 18 peserta dari Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Malaysia Timur menyertai Kursus International Academy of Certified Pickleball Professionals (IACPP) yang berlangsung selama dua hari bermula dari 24 hingga 25 Oktober 2026, bertempat di Hornbill Sports Pickleball Arena, Miri, Sarawak baru-baru ini.
Kursus berkenaan dikendalikan oleh Pengasas IACPP, Farrell Choo, dengan memberikan penekanan kepada peningkatan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi kejurulatihan dalam sukan ‘pickleball’.
Antara pengisian utama kursus termasuklah pembelajaran teknik asas dan lanjutan permainan, pemahaman peraturan, strategi permainan serta kaedah latihan dan bimbingan pemain secara berkesan.
Selain itu, para peserta turut didedahkan kepada pendekatan merancang dan melaksanakan program latihan secara sistematik bagi membantu meningkatkan prestasi serta melahirkan pemain yang berkualiti.
Penyertaan peserta dari NBD dan Malaysia Timur berkenaan mencerminkan usaha memperluas perkongsian ilmu serta meningkatkan keupayaan kejurulatihan dalam sukan ‘pickleball’ di peringkat serantau.
Kursus berkenaan bertujuan melahirkan jurulatih ‘pickleball’ yang bertauliah, berpengetahuan dan berkemahiran dalam membimbing pemain secara profesional dan berkesan.
Melalui pendedahan kepada ilmu dan pendekatan latihan yang berkualiti, kursus berkenaan diharap dapat meningkatkan mutu kejurulatihan serta menyumbang kepada pembangunan sukan pickleball di NBD.
Selain itu, usaha sedemikian juga penting dalam menyediakan tenaga kejurulatihan yang berkemampuan untuk membimbing pemain secara lebih terancang, sekali gus menyokong perkembangan sukan ‘pickleball’ pada masa akan datang.