Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam
BERAKAS, Selasa, 15 September. - Kejohanan Pencak Silat Peringkat Kebangsaan sempena Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 tahun membuka tirai hari ini dan akan berlangsung selama enam hari, dari 14 hingga 19 September 2026, bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Upacara Pembukaan Kejohanan telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haswandi bin Haji Osman, selaku tetamu kehormat majlis mewakili Setiausaha Tetap KKBS, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman, yang kemudiannya diiringi oleh Pemangku Yang DiPertua Persekutuan Pencak Silat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERSIB), Awang Haji Abdul Rajak bin Haji Dali untuk diperkenalkan kepada Pengurus-pengurus Kontinjen yang menyertai kejohanan tersebut selepas upacara bacaan ikrar pesilat yang diketuai oleh Atlet Kelas B Tanding, Dayang Nur Asyifa Shabeqah binti Masli, pemenang pingat gangsa di SUKMA Selangor yang lepas.
Sementara Ikrar Wasit Juri pula dipimpin oleh Awang Muhammad Adam bin Haji Emran.
Kejohanan pada tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 147 orang peserta yang mewakili tujuh kontinjen, iaitu Daerah Brunei Muara; Daerah Belait; Daerah Tutong; Daerah Temburong; Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB); Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei (MS PPDB); dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Brunei Darussalam (MS SSBD) berentap di dalam lima acara yang dipertandingkan (Cakak Asli Brunei, Kuntau Melayu, Tanding, Seni Antarabangsa dan Seni Festival).
Sebagai pembuka tirai kejohanan, pertandingan dimulakan dengan persembahan pembuka gelanggang oleh Pengiran Ali bin Pengiran Haji Apong dan seterusnya pertandingan peringkat suku akhir acara Cakak Asli Brunei dan Kuntau Melayu.
Kedua-dua acara ini menyaksikan para peserta berentap bagi merebut Perisai Kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan bagi para pesilat untuk menguji dan memperlihatkan kemahiran serta keupayaan masing-masing di peringkat kebangsaan, malah turut memainkan peranan penting dalam memartabatkan seni bela diri Pencak Silat sebagai salah satu warisan budaya dan sukan yang mempunyai nilai tradisi serta identiti tersendiri di Negara Brunei Darussalam.
Kejohanan ini juga menjadi platform untuk memperkukuh semangat kesukanan, disiplin, perpaduan dan persahabatan dalam kalangan para pesilat serta pegawai daripada tujuh kontinjen yang mengambil bahagian.
Dengan berlangsungnya kejohanan ini, para peserta berpeluang untuk meningkatkan pengalaman pertandingan serta mempertingkatkan tahap prestasi masing-masing, di samping membuka ruang bagi mencungkil dan mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
Kejohanan akan diteruskan sepanjang enam hari dengan pelbagai acara dan kategori yang dipertandingkan sehingga 19 September 2026.