Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BERAKAS, Khamis, 5 November. - Kasuka FC meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Super Brunei (BSL) 2026/2027 apabila berjaya menewaskan MS ABDB dengan keputusan 2 - 0 pada perlawanan yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.
Kemenangan berkenaan menyaksikan Kasuka FC terus mengekalkan rekod sempurna apabila berjaya memenangi kesemua tiga perlawanan liga setakat ini.
Kasuka FC membuka tirai jaringan seawal minit ke-18 menerusi Samuel Kojo Abbey, sebelum Md. Khairil Shahme menggandakan kelebihan pada minit ke-34 untuk meletakkan pasukannya mendahului 2-0 sehingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, MS ABDB tampil dengan corak permainan lebih agresif dalam usaha merapatkan jurang jaringan. Beberapa pertukaran pemain turut dilakukan bagi memperkukuh jentera serangan dan meningkatkan tekanan ke arah kubu pertahanan Kasuka FC.
Bagaimanapun, Kasuka FC terus memperlihatkan disiplin permainan yang baik serta memperkemaskan benteng pertahanan bagi mengekang asakan MS ABDB, sekali gus mempertahankan kelebihan dua jaringan berkenaan.
Perlawanan bagaimanapun terpaksa dihentikan sementara pada minit ke-74 berikutan kejadian kilat pada pukul 9.54 malam.
Selepas penangguhan selama 15 minit bagi membolehkan pengadil dan pegawai perlawanan menilai keadaan cuaca, aksi disambung semula pada pukul 10.09 malam dengan permainan diteruskan dari minit ke-74.
Kasuka FC berjaya mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus mengesahkan kemenangan 2-0 dan membawa pulang tiga mata penuh.
Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan Kasuka FC meneruskan momentum positif dengan mencatatkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan liga serta mengekalkan rekod tanpa bolos setakat ini.
Sementara itu, saingan BSL 2026/2027 akan diteruskan dengan beberapa perlawanan pada minggu ini.
Rimba Star FC akan menentang MS PPDB, manakala BSRC FC akan bertemu dengan Panchor Murai FC pada Jumaat, 6 November 2026.
Pada Sabtu, 7 November 2026 pula, Jerudong FC dijadualkan bertemu Indera SC.
Dua lagi perlawanan akan berlangsung pada Ahad, 8 November 2026, iaitu KB FC bertemu dengan Kasuka FC, manakala Wijaya FC bakal berentap dengan DPMM FC II.