HM 80th Birthday RC Boat Race 2026 himpunkan peminat RC Boat 4 daerah

31 Okt 2026 - 6:48am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Panaga 'A'

BELAIT, Jumaat, 30 Oktober. - Bagi memeriahkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panaga Kawasan 'A' dengan kerjasama Belait RC Boat dan Jabatan Daerah Belait akan menganjurkan aktiviti sukan rekreasi iaitu acara HM 80th Birthday RC Boat Race 2026.

Pertandingan berkenaan bakal berlangsung pada 1 November 2026 ini dan akan mengambil tempat di Taman Rekreasi Anduki, Seria, di sini.

Menurut Ketua Kampung Panaga 'A', Awang Muhammad Nurzairie bin Abdullah Peter semasa ditemu bual Pelita Brunei menjelaskan mengenai sukan bot kawalan jauh (RC Boat) merupakan aktiviti rekreasi yang menggabungkan kemahiran mengendalikan bot, pengetahuan teknikal dan semangat kesukanan.

Penganjuran pertandingan berkenaan katanya lagi, diharap akan dapat menghimpunkan para peminat RC Boat dari seluruh negara, di samping untuk mengeratkan silaturahim serta menyediakan ruang kepada usahawan tempatan mempromosi produk melalui gerai jualan.

Awang Muhammad Nurzairie seterusnya menjelaskan antara lain tujuan pertandingan berkenaan diadakan adalah untuk memeriahkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.

Selain itu katanya lagi, ia juga bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi yang positif.

"Penyertaan pemain yang diterima pada setakat ini adalah seramai 25 pemain yang mewakili daripada keempat-empat buah daerah.

"Menyentuh mengenai kategori pertandingan, sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan, iaitu Kategori Local Engine Catamaran – Open CC, Kategori Local Engine Mono – Open CC, Kategori Import Engine Mono – 26–28.5 CC, Kategori Import Engine Catamaran / F1 – 26–28.5 CC, Kategori Import Engine Mono – 29 CC Ke Atas, Kategori Import Engine Catamaran / F1 – 29 CC Ke Atas, dan Kategori Hydro / Rigger – Open CC," ujarnya lagi.

Adalah diharapkan acara berkenaan akan mendapat sambutan masyarakat dan hubungan antara pemain RC Boat dan komuniti daripada keempat-empat daerah semakin erat.