Eratkan hubungan komuniti, galakkan gaya hidup aktif

16 Sep 2026 - 7:59am

Siaran Akhbar dan Foto : Jaitra Solutions

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 15 September. - Pertandingan Persahabatan Ping Pong Veteran 2026 berjaya diadakan baru-baru ini di Dewan Al-'Afiah, dan menghimpunkan seramai 14 pemain veteran, termasuk dua peserta wanita dalam satu sambutan yang menggabungkan sukan, persahabatan dan gaya hidup sihat.

Acara berkenaan dianjurkan oleh Jaitra Solutions, dengan kerjasama YNot Solutions dan Kelab Ping Pong Pengiran Muhammad Noor (PMNTT), serta sokongan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan InsCare Agency.

Acara tersebut turut disokong oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Berangkat ke pertandingan berkenaan, Yang Amat Mulia Pengiran Ratna Wijaya Brigedier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan bin Pengiran Ahmad selaku tetamu kehormat majlis.

Pada pertandingan berkenaan, Samuel Revales dinobatkan sebagai juara, diikuti naib juara pertama oleh Sheikh Haji Said bin Sheikh Haji Yahya, manakala Awang Rahim Munggu dan Awang Sabtu Haji Yahya berkongsi kedudukan naib juara kedua.

Sementara, Pengiran Yusop Pengiran Haji Zidi diumumkan sebagai Pemain Paling Menghiburkan.

Lebih daripada sekadar pertandingan, acara berkenaan menekankan peranan penting ping pong dalam mempromosi penuaan aktif dan sihat. Sukan berkenaan menggalakkan pergerakan fizikal, koordinasi tangan dan mata, keseimbangan, tumpuan dan ketajaman mental, di samping mewujudkan peluang untuk persahabatan dan interaksi sosial.

Pihak penganjur merakamkan penghargaan kepada Pengarah Kejohanan, Mark Lim, atas sumbangan beliau yang berharga dalam memastikan perlawanan berjalan dengan lancar serta ucapan terima kasih kepada InsCare Agency kerana menaja sarapan dan minum petang, yang disediakan oleh Alya Kitchen, yang menyumbang kepada keselesaan dan keseronokan semua peserta dan pegawai sepanjang acara berlangsung.

Pihak penganjur berharap acara berkenaan dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai anggota komuniti, terutamanya veteran dan warga emas untuk kekal aktif, berhubung dan terlibat melalui sukan.

Ping pong bukan sekadar permainan, ia adalah cara untuk terus bergerak, mengekalkan minda yang aktif dan memastikan komuniti terus terhubung.