DPMM FC mara ke suku akhir Piala FA Malaysia 2026 / 2027

18 Sep 2026 - 6:33am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Azmah Haji Ahad, Tangkap Layar RTBGo

KUALA TERENGGANU, Khamis, 17 September. - DPMM FC terus menghidupkan impian dalam misi memburu kejayaan bagi saingan Piala FA Malaysia 2026 / 2027 apabila menyingkirkan Terengganu FC dengan kemenangan 3 - 1 pada aksi perlawanan pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, baru-baru ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan DPMM FC berjaya menebus kekalahan 2 - 3 pada aksi pertama di tempat sendiri, sekali gus mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir dengan kemenangan agregat 5 - 4.

Tiga jaringan menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan, dengan Danial Asri membuka tirai jaringan seawal minit ke-8 menerusi tandukan kemas yang gagal diselamatkan penjaga gawang Terengganu FC, Suhaimi Husin.

Terengganu FC bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-44 menerusi Manuel Ott, menjadikan kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, DPMM FC kembali memperkemaskan rentak permainan dalam usaha memburu jaringan yang mampu mengubah kedudukan agregat.

Usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-54 apabila Miguel Oliveira melepaskan rembatan padu yang menerjah gawang Terengganu FC untuk meletakkan DPMM FC di hadapan 2 - 1.

Jordan Murray kemudian melengkapkan malam gemilang DPMM FC apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-65, hasil gerakan serangan yang tersusun dan kemas.

Terengganu FC terus mengasak bagi mencari gol penyamaan, namun barisan pertahanan DPMM FC kekal bertahan sehingga wisel penamat, sekali gus mengesahkan kemenangan 3 - 1 dan agregat 5 - 4.

Kejayaan tersebut menempatkan DPMM FC dalam kelompok lapan pasukan terbaik yang akan berentap di peringkat suku akhir perlawanan.

Menanti DPMM FC pada peringkat seterusnya ialah menentang Kuala Lumpur City yang dijadualkan berlangsung pada 20 September ini, sekali gus menuntut pasukan berkenaan untuk terus memperkemaskan strategi, meningkatkan konsistensi serta menggandakan prestasi bagi menghadapi cabaran yang lebih getir.

Kemenangan ke atas Terengganu FC bukan sekadar tiket ke suku akhir, malah menjadi suntikan semangat kepada DPMM FC untuk terus melangkah lebih jauh dalam misi memburu kejuaraan Piala FA Malaysia musim ini.

DPMM FC kini semakin hampir dengan impian dan setiap perlawanan selepas ini bakal menjadi ujian penting menuju pentas kejuaraan.