DPMM FC II berjaya tewaskan Rimba Star FC, 6-2

14 Sep 2026 - 5:51am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 13 September. – DPMM FC II beraksi menentang Rimba Star FC untuk perlawanan pertama mereka dalam musim Liga Super Brunei 2026/2027 (Brunei Super League) pada malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Kompleks Padang dan Balapan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini, berkesudahan dengan DPMM FC II berjaya menewaskan Rimba Star FC dengan jaringan 6-2.

Babak pertama menyaksikan Rimba Star FC bermain dengan cemerlang dan berjaya menjaringkan gol sulung mereka pada minit ke-7 hasil daripada sepakan Aaiman Muqmin.

DPMM FC II mula bangkit dan menampilkan permainan yang agresif. Pada minit ke-22, Haziq Naqiuddin berjaya menjaringkan gol buat pasukan mereka.

Selang 10 minit kemudian, Kaua Santara pula berjaya menembusi gol pasukan lawan, diikuti empat minit kemudian jaringan gol ketiga dihasilkan beliau pada minit ke-36 sekali gus berjaya menambah gol bagi DPMM FC II.

Manakala, pada minit ke-58  pula, sekali lagi Aaiman Muqmin menambah jaringan gol kedua bagi Rimba Star FC.

Seterusnya, Jefferson pula berjaya memanfaatkan setiap peluang untuk menambah mata pada minit ke-85, diikuti pada minit ke-88 dan minit ke-90 buat DPMM FC II.

DPMM FC II terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 6-2 kekal sehingga wisel tamat perlawanan dibunyikan oleh pengadil perlawanan.