Oleh : Muhamad Khairul Hisyam Hj Jaya
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Selasa, 3 November. - Daerah Brunei dan Muara (DBM) berjaya menewaskan Daerah Belait (DB) dengan jaringan 3-1 dalam perlawanan bola sepak sempena Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V, Tahun 2026 (SKBD Ke-V, Tahun 2026).
Dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Padang dan Balapan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, pasukan DBM membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi jaringan Azhari Danial.
Pasukan DBM berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan penalti, namun percubaan Azhari Danial gagal menemui sasaran.
Memasuki babak kedua, pasukan DBM berjaya menggandakan kelebihan apabila pemain pertahanan DB, Zulhusni secara tidak sengaja tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan bola, sekali gus menjadikan kedudukan 2-0.
Bagaimanapun, Zulhusni berjaya menebus kesilapan tersebut apabila menjaringkan gol buat pasukan DB pada minit ke-75 menerusi tandukan hasil sepakan sudut, sekali gus merapatkan kedudukan kepada 2-1.
Pasukan DBM terus memperlihatkan kesungguhan untuk menambah jaringan dan usaha tersebut membuahkan hasil apabila penyerangnya, Akram Waqeel berjaya meledakkan gol ketiga pada penghujung perlawanan.
Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan DBM.