Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026
DAKAR, SENEGAL, Selasa, 3 November. - Atlet wusyu negara, Lauren Emily Chua Yu Qing berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir acara Women’s Taijiquan Combined pada temasya Sukan Belia Olimplik Ke-4, 2026 (4th Youth Olympic Games 2026) yang berlangsung di Dakar, Senegal.
Pada hari kedua pertandingan yang berlangsung baru-baru ini, Lauren Emily Chua Yu Qing telah mencatatkan 9.170 mata menerusi acara Women’s Taijiquan iaitu komponen kedua dalam acara Women’s Taijiquan Combined.
Pencapaian ini menunjukkan peningkatan skor berbanding persembahan beliau menerusi acara Taijishan pada hari pertama.
Secara keseluruhan, Lauren Emily Chua Yu Qing berjaya mengumpul 18.143 mata daripada gabungan kedua-dua acara tersebut, sekali gus menduduki tempat ketujuh daripada 11 peserta dalam kedudukan keseluruhan pusingan awal.
Keputusan ini melayakkan beliau berada dalam kelompok lapan peserta terbaik dan seterusnya mara ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Pencapaian ini merupakan satu perkembangan yang membanggakan buat Kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD). Ia mencerminkan kesungguhan, disiplin dan komitmen Lauren Emily Chua Yu Qing dalam membawa cabaran negara, di samping menjadi bukti potensi atlet muda Brunei untuk terus bersaing dan menimba pengalaman di pentas sukan antarabangsa, khususnya di temasya Sukan Olimpik Belia ini.
Kini, tumpuan Lauren Emily Chua Yu Qing pastinya terarah kepada peringkat akhir. Kejayaan melayakkan diri ke peringkat akhir merupakan satu pencapaian positif dan membanggakan.
Diharapkan Lauren Emily Chua Yu Qing akan terus mengekalkan fokus, keyakinan dan semangat juang yang tinggi, di samping mempersembahkan aksi yang lebih mantap dan konsisten bagi merebut peluang untuk mencatatkan keputusan terbaik di pentas antarabangsa.
Seluruh warga sukan dan rakyat NBD pastinya akan terus memberikan sokongan dan iringan doa kepada Lauren Emily Chua Yu Qing agar dapat menghadapi cabaran di peringkat akhir dengan penuh keyakinan serta membawa pulang keputusan yang membanggakan negara.