Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026
DAKAR, SENEGAL, Isnin, 2 November. - Atlet renang negara, Danniel Chan, telah beraksi dalam acara Men's 200 meter (m) Backstroke pada temasya Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026 (4th Youth Olympic Games 2026) di Dakar, Senegal.
Dalam acara berkenaan, Danniel Chan tidak berjaya memperbaharui catatan masa terbaik peribadi beliau. Danniel Chan menamatkan saingan di tempat kesembilan dalam pusingan saringan dengan catatan masa 2:17.11, sekali gus terlepas peluang untuk melayakkan diri ke peringkat akhir dengan perbezaan masa yang tipis, iaitu 0.50 saat.
Pingat emas dimenangi oleh atlet New Zealand, Muchirahondo Ariel; manakala perak milik atlet Republik Islam Iran, Shahshahani Parsa; sementara gangsa dimenangi oleh atlet Greece, Papatheodorou Nikolaos.
Namun begitu, pengalaman beraksi di pentas antarabangsa berkenaan merupakan satu pencapaian dan pengalaman berharga dalam perjalanan karier sukan beliau.
Menariknya, Danniel Chan merupakan atlet termuda dalam kategori acara berkenaan. Usia yang masih muda memberi ruang dan peluang yang lebih luas untuk beliau terus berkembang, menimba pengalaman serta memperbaiki prestasi pada masa akan datang.
Manakala atlet wusyu negara, Lauren Emily Chua, telah memulakan saingan dalam acara Women's TaijiShan & Taijiquan Combined Preliminary Round.
Dalam acara pertama, Taijishan, Lauren Emily Chua berjaya mencatatkan 8.973 mata, sekali gus menduduki tempat ketujuh daripada 11 peserta, berkongsi mata dengan atlet Tunisia di tempat kelapan.
Menurut jurulatih, Lauren Emily Chua memperlihatkan persembahan yang baik dengan keyakinan, kekuatan dan aura positif sepanjang beraksi di gelanggang. Walau bagaimanapun, beberapa aspek masih boleh diperbaiki, khususnya dari segi teknik pendaratan (landing) serta kekuatan mental untuk memastikan persembahan yang lebih konsisten.
Lauren Emily Chua akan meneruskan saingan dalam acara kedua, taijiquan, yang akan menentukan kedudukan keseluruhan dan peluang beliau untuk layak ke kelompok Top 8, seterusnya untuk mara ke peringkat akhir yang dijadualkan pada 3 November 2026.
Kontinjen mendoakan agar Lauren Emily Chua dapat meningkatkan keyakinan, memperbaiki prestasi dan memberikan persembahan terbaik dalam acara taijiquan esok.
Sama-sama kita mendoakan kejayaan beliau untuk mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam.