Siaran Akhbar dan Foto : Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Belia Olimpik Ke-4 2026
DAKAR, SENEGAL, Jumaat, 30 Oktober. - Rombongan kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang menyertai Sukan Belia Olimpik Ke-4, 2026 di Dakar, memulakan program pada sebelah pagi dengan pengambilan koleksi pakaian seragam kontinjen negara di bawah kerjasama antara Association of National Olympic Committee (ANOC) dengan jenama sukan PEAK (ANOC - PEAK Uniform Programme).
Sebanyak 10 jenis produk barangan sukan, iaitu satu set jaket dan seluar trek sukan, dua helai baju polo, tiga helai baju ‘round-neck’, dan tiga helai seluar pendek tajaan PEAK telah diserahkan kepada Chef de Mission (CDM), Pengiran Siti Amal Jariah binti Pengiran Haji Matjinen.
Penyerahan barangan berkenaan turut disertai oleh Awang Danniel Chan Zhi Chen, atlet renang, dan Dayang Lauren Emily Chua Yu Qing, atlet wusyu.
Kedua-dua atlet menjalani sesi latihan ringan pada hari ini sebagai sebahagian daripada persiapan mereka. Ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mereka membiasakan diri dengan suasana persekitaran dan cuaca di Dakar, di samping memastikan tahap kesiapsiagaan atlet berada pada tahap yang optimum menjelang hari pertandingan.
Para atlet memulakan latihan di Fitness Centre, Youth Olympic Village (YOV) dengan memperlihatkan kesediaan dan komitmen yang baik sepanjang menjalani latihan berkenaan. Kedua-dua jurulatih telah memberikan nasihat kepada atlet masing-masing untuk sentiasa berbekal botol air minuman untuk mengekalkan hidrasi mereka.