Aktiviti badminton galak gaya hidup sihat, semangat kekeluargaan

29 Sep 2026 - 6:03am

Siaran Akhbar dan Foto : BXTeam 2026

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 28 September. - Hari Keluarga Badminton XTeam (BXTeam) 2026 telah diadakan baru-baru ini di dewan badminton, di ibu negara.

Acara tahunan berkenaan menghimpunkan ahli keluarga BXTeam melalui aktiviti sukan bulu tangkis yang bertujuan untuk memupuk kesihatan, semangat kekeluargaan, kemuafakatan dan mengeratkan silaturahim.

Pada tahun ini, kira-kira 40 peratus peserta terdiri daripada pemain baharu yang dikenali sebagai BXTeam Jrs. Kehadiran mereka membawa semangat dan suasana baharu dalam acara berkenaan, di samping menggalakkan semangat berpasukan dan gaya hidup sihat.

Kemuncak acara ialah Pertandingan Bulu Tangkis yang menyaksikan para peserta menunjukkan kemahiran, kesungguhan dan minat terhadap sukan yang menjadi teras BXTeam sejak penubuhannya pada 2018.

Sejak ditubuhkan, BXTeam terus memainkan peranan dalam memupuk minat terhadap sukan bulu tangkis di negara ini serta mengeratkan hubungan persahabatan dalam kalangan komuniti sukan tempatan.