MOSCOW, 7 Okt. - Hungary dan Croatia bersetuju untuk membangunkan sebuah medan gas yang terletak di sempadan kedua-dua negara, menurut Menteri Luar Hungary Anita Orban, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada Selasa, Orban dan Menteri Ekonomi dan Tenaga Hungary Istvan Kapitany mengadakan rundingan dengan Menteri Luar Croatia Gordan Grlic Radman serta Menteri Ekonomi Ante Susnjar.
"Kami bersetuju untuk melancarkan projek penerokaan dan pengeluaran gas bersama di Zalata-Dravica, selain meneruskan pembangunan jambatan Murakeresztur-Kotoriba merentasi Sungai Mura, memperluas talian paip penghubung gas antara kedua-dua negara serta memperkukuh kerjasama bagi memastikan bekalan minyak yang boleh diharap, termasuk meneruskan dialog MOL-JANAF mengenai talian paip Adria.
"Hubungan rentas sempadan yang diperkukuh bermakna lebih banyak peluang kepada rakyat dan perniagaan, serta meningkatkan keselamatan tenaga bagi kedua-dua negara," kata Orban menerusi X pada Selasa.
Pada September, Kapitany berkata Hungary bersedia menghentikan pembelian gas dari Persekutuan Rusia mulai Oktober 2027 sekiranya Suruhanjaya Eropah mewajibkannya, sambil menegaskan bahawa negara itu akan mencari sumber alternatif. - ©BERNAMA