Brisbane 2032 papar lambang Olimpik, Paralimpik

7 Okt 2026 - 10:28am

GENEVA, 7 Okt. - Sukan Olimpik dan Paralimpik Brisbane 2032 mengumumkan lambang rasminya yang menampilkan dua ekor burung kakaktua Australia, dengan kakaktua merah jambu mewakili Sukan Olimpik manakala kakaktua jambul kuning mewakili Sukan Paralimpik, lapor Xinhua.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan pada Isnin  bahawa dalam kedua-dua lambang berkenaan, gabungan burung kakaktua itu dipaparkan bersama lambang Brisbane 2032, gelang Olimpik atau Agitos Paralimpik, serta penamaan Sukan berkenaan.

Beberapa elemen lain, termasuk garis bentuk Queensland serta obor Olimpik dan Paralimpik, turut dimasukkan ke dalam rekaan berkenaan. Susunan tiga dan dua helaian bulu burung itu juga melambangkan angka “32” bagi tahun 2032.

Pengerusi Suruhanjaya Penyelarasan IOC Brisbane 2032 Mikaela Cojuangco Jaworski berkata: “Dengan lambang ini, Brisbane dan Queensland mencipta tempat dalam sejarah identiti Olimpik yang menjangkau lebih seabad, mewakili Australia di pentas dunia buat kali ketiga, selepas Melbourne pada 1956 dan Sydney pada 2000.”

Presiden Brisbane 2032 Andrew Liveris berkata: “Lambang Sukan Olimpik dan Paralimpik menawarkan peluang untuk mempromosikan watak unik Sukan berkenaan, sekali gus menjemput dunia untuk mengetahui lebih lanjut, melawat, melabur dan menjadi sebahagian daripada acara yang tidak seperti yang lain”. - ©BERNAMA