60 pasukan sertai Pertandingan Pickleball Nakhoda Awang 2026

7 Nov 2026 - 5:15am

Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Sejarah Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 6 November. - Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kelab Pickleball Dinkin' Lobsters serta RYS Event Management telah mengadakan Pertandingan Pickleball Nakhoda Awang 2026 buat julung kalinya. Menurut penyelaras Pertandingan Pickleball Nakhoda Awang 2026, Awang Mohd. Nasrul Hadi bin Haji Morni, sambutan begitu menggalakkan daripada para pemain yang ikut serta.

Jelasnya lagi, perlawanan berkenaan disertai oleh 60 pasukan, dengan setiap pasukan terdiri daripada dua orang peserta, dengan jumlah keseluruhan seramai 120 peserta yang terdiri daripada para pemain wakil setiap kementerian kerajaan, sektor korporat dan swasta, perbankan dan terbuka di Negara Brunei Darussalam.

Kejohanan berkenaan telah berlangsung selama 3 hari dan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu Kategori Beregu Lelaki dan Kategori Beregu Perempuan.

Objektif utama pertandingan berkenaan diungkayahkan adalah untuk mencari pemain berpotensi sekali gus mengeratkan lagi silaturahim sesama organisasi, para pemain dan kelab-kelab yang terdiri daripada keempat-empat buah daerah. Jalinan rangkaian sosial juga dapat dikembangkan melalui sukan berkenaan. Majlis Penyampaian Hadiah kepada para pemenang telah berlangsung di Bangunan PSB, di ibu negara.

Pihak PSB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pemain, rakan kerjasama urus setia dan penaja yang telah menjayakan kejohanan kali ini.