4 pasukan Kumpulan 'C' sahkan slot ke pusingan kedua

15 Sep 2026 - 5:54am

Siaran Akhbar dan Foto : Yakin Football League

BERAKAS, Isnin, 14 September. - Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2026 terus menyaksikan persaingan sengit apabila empat lagi pasukan mengesahkan tempat ke pusingan kedua, mewakili Kumpulan 'C' selepas mengharungi saingan secara liga di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, baru-baru ini.

Pasukan FENIX FX tampil cemerlang sepanjang saingan Kumpulan 'C' apabila mencatatkan empat kemenangan dan satu keputusan seri untuk mengumpul 13 mata, sekali gus menduduki tangga teratas kumpulan serta mengesahkan slot ke pusingan kedua.

Sementara itu, Pasukan KAR, ISC A dan YND turut mengiringi langkah FENIX FX ke pusingan seterusnya selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik kumpulan.

FCOT dan Wasik FC 'B' pula terpaksa akur apabila gagal meneruskan cabaran selepas masing-masing menduduki tangga kelima dan tercorot dalam carta Kumpulan 'C'.

Dengan berakhirnya saingan Kumpulan 'C', tumpuan kini beralih kepada Kumpulan 'D' yang akan menyaksikan lima pasukan, iaitu DS X Kota, Makkah FC, ASEAN Futsal, BK Sahabat X AR dan Wasik FC 'C', berentap pada Sabtu depan bagi merebut slot terakhir ke pusingan kedua.

Sebanyak 16 pasukan yang berjaya melepasi saingan peringkat kumpulan akan berentap dalam format kalah mati pada pusingan kedua sebelum melangkah ke peringkat suku akhir dan seterusnya pusingan separuh akhir.

Kemuncak kejohanan dijadualkan berlangsung pada 20 September depan bagi menentukan juara Kejohanan Futsal Piala Keputeraan 2026.