LeadCon 2026 tekankan kepimpinan strategik, transformasi organisasi

22 Okt 2026 - 6:30am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang

GADONG, Rabu, 21 Oktober. - Brunei Institute of Leadership & Islamic Finance (BILIF), dengan sokongan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan kerjasama rakan strategik, University of Cyberjaya, menganjurkan Persidangan Kepimpinan 2026 (Leadership Conference - LeadCon, 2026) bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun.

Dengan tema 'Metamorphosis', persidangan ini menyediakan platform kepada para pemimpin dan eksekutif  di  pelbagai  peringkat  untuk  meneliti  perubahan  tuntutan kepimpinan dalam persekitaran yang semakin kompleks dan pesat berubah.

Persidangan ini mengetengahkan  peranan  penting  transformasi  strategik,  amanah  kepimpinan  dan akauntabiliti dalam membentuk kepimpinan yang berdaya tahan, berwibawa dan berkesan. Pada masa yang sama, penekanan turut diberikan terhadap kesinambungan kepimpinan, perancangan penggantian dan kesiapsiagaan organisasi bagi memastikan kemampanan serta kejayaan jangka panjang.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Pengerusi Lembaga Pengarah BDCB.

Turut hadir ialah Pemangku Menteri Kewangan II, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Afero Eswandy Mohamad, yang menekankan keperluan kepimpinan untuk terus berkembang seiring dengan persekitaran operasi yang semakin kompleks dan dinamik.

Beliau menjelaskan bahawa transformasi  yang  bermakna  memerlukan  para pemimpin  untuk  menerima  perubahan  dengan  terus  berpegang  teguh  pada  integriti, akauntabiliti  dan  matlamat  yang  jelas.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa peranan  penting kepimpinan  dalam memberikan  hala  tuju  strategik,  membina  kepercayaan  serta mengharungi cabaran dan ketidakpastian organisasi.

Majlis diteruskan dengan ucaptama oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, yang mengetengahkan peranan penting kepimpinan dalam memacu kemajuan organisasi  dan negara.

Selaras  dengan  tema  persidangan,  beliau juga menekankan  kepentingan  membentuk  pemimpin  yang  berpandangan  jauh  dan berkeupayaan  menghadapi  cabaran  serta  merebut  peluang  yang  muncul selain  keperluan  untuk  memperkukuh  daya  tahan  organisasi,  membangunkan pemimpin masa hadapan dan memupuk budaya kepercayaan bagi menyokong kemajuan yang mampan dalam jangka panjang.

Persidangan  ini  menampilkan  siri  pembentangan  dan  perbincangan  panel  yang disampaikan  oleh  penceramah  terkemuka  dari  dalam  dan  luar  negara,  dengan mengetengahkan  pandangan  mengenai  kepimpinan,  transformasi  strategik,  tadbir  urus serta pembangunan pemimpin masa hadapan.

Program persidangan merangkumi pembentangan ucaptama bertajuk 'Leading Change in  an  Age  of  Uncertainty' oleh Adjunct  Associate  Professor  in Practice, Lee  Kuan  Yew  School  of  Public  Policy,  National  University  of  Singapore,  dan Nominated  Member  of  Parliament,  Republik Singapura, Profesor Terence Ho.

Persidangan  turut  diserikan dengan pembentangan bertajuk 'Lead the Disruption: Why the Future Belongs to Leaders Who Shape Change - Not Those Who Simply Survive It' yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan C-Suite Master Executive Coach, Disruptive Leadership Institute LLC (DLI), New York, Profesor Sattar Bawany, serta pembentangan bertajuk 'Stuck in the Middle: Why Tough Decisions Are Never Black and White' oleh Naib Canselor, University of Cyberjaya, Malaysia, Tan Sri Dato’ Dr. R. Palan.

Sementara itu, Afero Eswandy Mohamad seterusnya turut mengendalikan perbincangan panel bertajuk 'The Ethical Compass for Leaders: Governance, Culture and the Responsibilities of Modern Leadership’.

Ahli  panel  terdiri daripada  Profesor Terence  Ho;  Tan  Sri  Dato’  Dr.  R.  Palan;  dan Pengerusi Manaf Gardner Associates, Datuk  Dr  Nora  Manaf.

Dalam perbincangan tersebut meneliti bagaimana prinsip etika, tadbir urus yang baik dan budaya organisasi memainkan peranan dalam membentukr kepimpinan yang bertanggungjawab dan berakauntabiliti.

Satu  lagi  perbincangan  panel  bertajuk  'Strategic  Transformation:  Leading  with Intention, Direction and Alignment' menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Standard  Chartered  Bank  Brunei, Pengiran Aki Ismasufian Pengiran Haji Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif National  Digital Payments Network, Hafiz  Haslen, dan Head of IT Centre of Expertise, BSP-ISA, Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd, Awang Juswani bin Haji Ahmad Jawawi.

Dikendalikan oleh Pengurus  Kanan,  BILIF, Dayang Ida Nazrena binti Haji Bujang, sesi tersebut juga membincangkan  peranan  kejelasan  dan penjajaran strategik dalam mengharungi proses transformasi serta memajukan keutamaan organisasi.

Perbincangan panel terakhir bertajuk 'Building Future Leaders: Rethinking Readiness, Depth and Continuity' sekali lagi menampilkan Afero Eswandy Mohamad; Pengarah Eksekutif Sumber Manusia BDCB; Dayang Hajah Rafezah binti Abd. Rahman, dan Ketua of Sumber Manusia, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd., Awang Muhammad Hafizuddin Haji Ahmad.

Dikendalikan oleh Pemangku Pengurus, BILIF, Dayangku  Ayumi  Qistina  binti  Pengiran Mohd. Yusof, perbincangan  itu turut  menekankan  keperluan  untuk  memperkukuh  barisan  pelapis kepimpinan,  membangunkan  pemimpin  masa  hadapan  yang  berkeupayaan  serta memastikan kesinambungan kepimpinan dalam organisasi.

BILIF, selaku Centre of Excellence, terus melaksanakan misinya dalam membentuk pemimpin, pakar dan inovator masa hadapan melalui program-program pembelajaran yang imersif serta acara bertaraf dunia.

Untuk maklumat lanjut mengenai BILIF, sila layari laman sesawang BILIF di ‘www.bilif.com.bn’ atau Instagram ‘@BILIF.bn’.