Penyelarasan kukuh, akauntabiliti bersama asas kemajuan negara

22 Okt 2026 - 6:36am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

GADONG, Rabu, 21 Oktober. - Dalam usaha mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035, kepimpinan yang berkesan akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk hasil yang dihasratkan.

Kejayaan agenda kebangsaan bukan sahaja bergantung pada pelaburan dan dasar-dasar yang digubal, malah bergantung pada pemimpin yang mampu menggerakkan rakyat, mengharungi ketidakpastian, dan memacu perubahan yang bermakna. 

Pemimpin sebegini akan memainkan peranan utama dalam memastikan institusi negara kekal berdaya tahan, inovatif, serta bersedia menghadapi peluang dan cabaran pada masa hadapan.

Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin menekankan demikian dalam ucaptama pada Majlis Perasmian Persidangan Kepimpinan 2026 di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri seterusnya menjelaskan, perkara itu dizahirkan dalam Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa Mesyuarat Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet Kali Ke-92 yang berlangsung pada 15 Jun 2026, yang mana baginda menekankan kepentingan Whole Of Government approach, dengan mengingatkan bahawa tiada institusi yang boleh beroperasi secara terasing, dan kemajuan yang bermakna hanya dapat dicapai melalui penyelarasan yang kukuh, akauntabiliti bersama, serta matlamat yang dikongsi bersama.

“Pendekatan sedemikian memerlukan kepimpinan yang mampu menyatukan rakyat, memacu pelaksanaan, dan menyesuaikan diri dengan perubahan. Oleh itu, ukuran kejayaan yang sebenar bukan sekadar terletak pada pelan, strategi, atau pelan induk yang kita bangunkan, tetapi pada keupayaan kita menterjemahkan visi kepada hasil yang nyata. Ia juga bergantung pada keupayaan kita melaksanakan pelan-pelan tersebut dengan disiplin, integriti, dan hala tuju yang jelas. Kepimpinan bukan sekadar kuasa untuk membuat keputusan. Ia merupakan tanggungjawab untuk membuahkan hasil, kerendahan hati untuk mendengar, serta keberanian untuk kekal bertanggungjawab (accountable),” jelas Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, hal tersebut juga selari dengan aspirasi yang digariskan dalam Financial Sector Blueprint 2026-2035. Pelan Induk ini katanya, bukan sekadar peta hala tuju strategik bagi sektor kewangan; ia mencerminkan komitmen untuk mentransformasikan ekosistem kewangan kita menjadi satu ekosistem yang lebih progresif, inovatif, berdaya tahan, dan bersedia untuk masa hadapan.

Malahan, untuk mencapai transformasi ini tegas Yang Berhormat lagi, memerlukan lebih daripada sekadar dasar, program, dan inisiatif. Ia menuntut perubahan menyeluruh dari segi minda, keupayaan, dan kepimpinan merentasi pelbagai institusi, baik dalam sektor awam mahupun swasta.

Yang Berhormat menyatakan, salah satu ciri kepimpinan yang unggul ialah kesediaan untuk melabur dalam generasi akan datang, mewujudkan peluang untuk pertumbuhan, memperkasakan bakat masa depan, serta memupuk budaya yang berteraskan pembelajaran, integriti, dan kecemerlangan.

Dalam hal ini, BILIF tambah Yang Berhormat, memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan bakat, memupuk kerjasama yang lebih erat, serta melahirkan pemimpin masa depan.

Sejak tahun 2016, seramai 400 peserta telah berjaya menamatkan program kepimpinan anjuran BILIF, seperti Young Executive Leadership Programme (YELP), Senior Executive Accelerated Leadership Programme (SEAL), Young Professionals Programme (Y-PRO), dan Leadership in Islamic Finance and Economics (LIFE).

Melalui program-program utama ini, BILIF ujar Yang Berhormat, terus melahirkan pemimpin yang dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan, dan minda yang diperlukan untuk mengharungi ketidakpastian, memimpin dengan hala tuju yang jelas, serta memacu transformasi yang bermakna. Lebih penting lagi, program-program ini membantu membina barisan pemimpin yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan berterusan dan daya tahan organisasi mereka, industri, serta negara secara keseluruhannya.

Oleh itu, Yang Berhormat berasa gembira melihat Persidangan Kepimpinan hari ini berkembang menjadi platform yang berharga untuk dialog yang bermakna. Selain perkongsian ilmu, ia menjadi ruang untuk mengukuhkan kerjasama, meluaskan perspektif, dan membentuk komuniti pemimpin yang disatukan oleh komitmen bersama terhadap kecemerlangan, inovasi, dan pembangunan negara.