YLP Ke-12 catat pelbagai pencapaian strategik

3 Okt 2026 - 8:09am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Ihsan Maritime and Port Authority of Singapore

REPUBLIK SINGAPURA, Jumaat, 2 Oktober. - Program Pemimpin-pemimpin Muda Singapura-Brunei (YLP) terus menjadi wadah penting yang memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin, kepercayaan yang mendalam, serta kerjasama erat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.

Program YLP tahun ini mencatatkan hasil yang signifikan dalam pelbagai bidang strategik melangkaui interaksi peringkat tinggi.

Antara pencapaian utama YLP Kali Ke-12 ini ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dengan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) pada 28 September 2026.

MoU berkenaan menyediakan rangka kerja bagi memperkukuh kerjasama dalam pendigitalan maritim, perkongsian pengetahuan, keselamatan maritim, pemeriksaan kawalan negara pelabuhan (Port State Control), penyiasatan insiden serta latihan profesional, ke arah menyokong sektor perkapalan serantau yang lebih selamat, bersih dan cekap.

Dalam bidang keterjaminan makanan, kedua-dua negara memberikan penekanan kepada pembangunan Zon Makanan Agri-Teknologi (Agri-Tech Food Zone), bagi memperkukuh pengeluaran makanan, meningkatkan kecekapan logistik rentas sempadan serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan makanan dalam menghadapi ketidaktentuan dan gangguan global.

YLP Ke-12 ini turut membuka ruang untuk memperluas kerjasama dalam pembangunan bakat, teknologi baharu dan inovasi melalui pertukaran amalan terbaik dalam kerjasama industri-akademia dan rangka kerja kawal selia yang efektif. Kedua-dua negara juga menyambut baik usaha untuk memajukan kerjasama dalam bidang bioperubatan dengan memperluas penyelidikan bersama, pembangunan bakat saintifik serta penggunaan teknologi moden, di samping memperluas kerjasama dalam pendidikan, pengukuhan kapasiti perkhidmatan awam serta sektor kewangan.

Dalam beberapa perjumpaan yang diadakan sepanjang YLP, Republik Singapura dan Negara Brunei Darussalam menekankan semula hubungan unik dan istimewa antara kedua buah negara serta membincangkan pencapaian penting yang bakal tiba, termasuk Ulang Tahun Ke-50 Kerjasama Pertahanan dan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Pertukaran Mata Wang (CIA) pada tahun hadapan.

Pencapaian-pencapaian yang diperoleh terus mengalakkan pertukaran ilmu, memperkukuh persefahaman bersama dan meletakkan asas yang kukuh bagi kerjasama yang berkekalan demi generasi pemimpin masa hadapan kedua-dua negara.