UTB ruang peluang, pertumbuhan, transformasi

14 Jul 2026 - 10:38am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan AhmadiFoto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Isnin, 13 Julai. - Universiti Teknologi Brunei (UTB) bukan sekadar sebuah universiti, ia adalah ruang untuk peluang, pertumbuhan, dan transformasi. Melalui program akademik, pengalaman praktikal serta penglibatan dengan industri dan masyarakat, awda akan dipersiapkan bukan sahaja untuk kerjaya, malah untuk menempuh kehidupan.

Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman menyatakan demikian semasa dalam Ucapan Naib Canselor bersempena Minggu Orientasi UTB 2026 berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, di sini.

Menurut Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah, para pelajar akan dicabar untuk berfikir secara kritis, bertindak dengan bertanggungjawab, dan memberi sumbangan yang bermakna kepada dunia di sekeliling mereka.

“Pada masa yang sama, saya menggalakkan para pelajar untuk memanfaatkan sepenuhnya kehidupan kampus di luar bilik kuliah. Sertailah kelab dan persatuan, libatkan diri dalam pelbagai aktiviti, dan carilah minat serta 'passion' awda.

“Pengalaman-pengalaman ini akan membantu para pelajar membina keyakinan diri, semangat kerja berkumpulan, dan kemahiran kepimpinan. Ambil peluang untuk menjalani penempatan di luar negara semasa Projek ExperiencePlus atau Projek Capstone awda,” katanya.

Naib Canselor UTB seterusnya menjelaskan, memulakan kehidupan di universiti adalah sesuatu yang mengujakan dan memberi inspirasi walaupun hari pertama juga boleh agak mengelirukan. Justeru, para pelajar dinasihatkan untuk menyatu dengan komuniti UTB.

Binalah persahabatan yang kekal seumur hidup dan cungkillah potensi diri yang mungkin belum awda sedari sebelum ini serta gunakan masa itu untuk meneroka, bertanya dan berinteraksi dengan orang di sekeliling awda iaitu pensyarah, senior dan rakan-rakan pelajar yang lain, jelasnya lagi.

Tambah beliau, para pelajar juga akan berpeluang untuk berbakti kepada masyarakat yang lebih luas dan membawa perubahan positif. Pengalaman itu akan mengingatkan mereka bahawa pendidikan bukan sekadar tentang kejayaan peribadi, tetapi juga tentang memberi sumbangan kepada masyarakat dan membantu orang lain.

Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah seterusnya menekankan bahawa UTB mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap buli kerana pihaknya amat percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat persekitaran yang selamat, saling menghormati dan menyokong untuk belajar serta berkembang.

Sebarang tindakan buli, tambahnya, sama ada secara fizikal, lisan, mahupun dalam talian, akan dipandang serius dan boleh dikenakan tindakan disiplin yang boleh menjejaskan status akademik serta masa depan pelajar di universiti ini.

Tegasnya lagi, mungkin akan ada ketikanya para pelajar menghadapi cabaran dan itu adalah perkara yang lumrah. Apabila ia berlaku, jangan sesekali ragu-ragu untuk meminta bantuan. Hubungilah pensyarah awda, ketua program, kaunselor di Pejabat Hal Ehwal Pelajar, atau Majlis Perwakilan Pelajar.

“Awda tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Malah pelajar yang terbaik sekalipun kadangkala memerlukan bimbingan dan itulah sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebagai Generasi Z, awda adalah warga digital (digital natives). Tabiat awda didominasi oleh video format pendek dan carian sosial, di mana platform seperti YouTube, TikTok, dan Instagram bertindak sebagai hab utama untuk berita, carian produk dan komunikasi. Tiada apa yang salah dengan perkara tersebut, namun penggunaan teknologi datang bersama tanggungjawab,” ujarnya lagi.

Naib Canselor UTB menekankan bahawa pihak UTB mempunyai garis panduan bagi penggunaan AI generatif. Seboleh-bolehnya, gunakanlah minda untuk berfikir, jangan biarkan mesin yang menentukan segalanya untuk awda. Pemikiran kritis tetap penting dan relevan dalam era ini dan memang mudah untuk menggunakan teknologi pada zaman sekarang semuanya berada di hujung jari para pelajar.

Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah yakin bahawa masa yang para pelajar luangkan di UTB akan menjadi tempoh yang memuaskan, memperkaya diri, dan benar-benar transformatif. Rebutlah setiap peluang, kekalkan sifat ingin tahu, dan percayalah pada diri sendiri.

Terdahulu, dalam ucapannya menyatakan, UTB bangga kerana berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 universiti terbaik di Asia Tenggara menurut Times Higher Education World University Rankings (Pilot Ranking for Southeast Asia 2026).

Selain itu, katanya, UTB terus memperkukuh reputasi antarabangsanya dengan menduduki kedudukan ke-613 dalam QS World University Rankings 2027, serta diiktiraf di peringkat kebangsaan sebagai universiti No. 1 untuk Kategori Citations per Faculty.

Di samping kecemerlangan akademik, UTB juga komited terhadap agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Khususnya bagi SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti, UTB berada pada kedudukan kelompok 101–300 dalam Times Higher Education Impact Rankings 2026.

Adapun UTB menyambut kedatangan kohort pelajar baharunya bagi Tahun Akademik 2026/2027 berjumlah seramai 872 pelajar, peningkatan yang ketara berbanding 670 pelajar pada tahun lepas sekali gus mencerminkan reputasi universiti yang kian meningkat dalam aspek kecemerlangan, inovasi, dan penglibatan global.

Sehubungan itu, acara dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah yang dipimpin oleh Awang Muhammad Irfaie bin Haji Mohd. Ali, pelajar Tahun Kedua dalam bidang Kewangan Matematik.

Majlis kemudian diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Awang Muhammad Irfan Ali bin Haji Hasrol Bahri, pelajar Tahun Kedua Kejuruteraan Awam, manakala terjemahannya disampaikan oleh Awang Muhammad Hero Azizi @ Herozee bin Heromme, pelajar Tahun Kedua Kejuruteraan Mekatronik. Para pelajar baharu seterusnya sama-sama melafazkan Ikrar Pelajar, berjanji untuk menegakkan nilai-nilai dan tanggungjawab UTB sebagai ahli komuniti universiti.

Minggu Orientasi UTB 2026 berlangsung bermula 13 hingga 18 Julai 2026, yang dikendalikan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UTB (MPPUTB).

Program tersebut dirancang untuk menyokong pelajar baharu dalam menempuhi fasa transisi ke kehidupan universiti, sekali gus melengkapkan mereka dengan pengetahuan, kemahiran, dan keyakinan yang diperlukan untuk cemerlang dalam aspek akademik mahupun peribadi.

Sepanjang minggu tersebut, para pelajar akan menghadiri taklimat akademik dan pentadbiran, sesi motivasi dan kaunseling, ceramah keagamaan dan kesedaran, serta lawatan kampus dan aktiviti sukarelawan.

Petak-petak Pameran Aktiviti Kokurikulum (CCA) juga telah disediakan untuk memperkenalkan pelajar kepada kepelbagaian kelab, persatuan dan organisasi di UTB, sekali gus menggalakkan penyertaan aktif dalam kehidupan kampus serta memupuk semangat kepimpinan, kerja berpasukan dan semangat kemasyarakatan.