Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
MUARA, Ahad, 18 Oktober. - Bahagian Hal Ehwal Muslimah Masjid Setia Ali, Pekan Muara, pagi tadi menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran sebagai pesambah istimewa sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, serta Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.
Majlis yang berlangsung di Madrasah Masjid Setia Ali, Pekan Muara berkenaan turut melibatkan penyertaan daripada beberapa kumpulan Muslimah dari masjid-masjid lain, iaitu Muslimah Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Perpindahan Serasa, Muslimah Masjid Az-Zakireen, Kampung RPN Meragang; Muslimah Masjid Kampung Kapok, Kumpulan Al-Mudarisah Kampung Sungai Buloh, Muslimah Masjid Kampung Tanah Jambu dan Muslimah Masjid An-Naim, Kampung Panchor Mengkubau.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, isteri kepada Yang Mulia Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Datin Masrelawati@Khadijah binti Pengiran Haji Md. Said.
Seramai 140 peserta menyertai majlis berkenaan yang antara lain bertujuan menzahirkan ketaatan dan kesetiaan rakyat kepada raja yang dikasihi melalui pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Selawat Tafrijiyyah, diikuti bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis.
Acara diteruskan dengan bacaan doa sebelum memulakan bacaan Al-Quran, diikuti bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas serta bacaan Takhtim Al-Quran.
Sementara Doa Khatam pula dibacakan oleh Dayang Hashimah binti Haji Seruji, wakil Muslimah Masjid Setia Ali, Pekan Muara.
Majlis turut diserikan dengan laungan Dikir Marhaban sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Penganjuran majlis keagamaan berkenaan bertujuan memohon keredaan Allah Subhanahu Wata'ala, di samping menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam usaha membina generasi Al-Quran.
Selain itu, majlis berkenaan dihasrat dapat mengeratkan lagi hubungan mahabbah dan silaturahim dalam kalangan peserta khatam serta Muslimah Masjid Setia Ali, Pekan Muara, bersama Muslimah dari masjid-masjid lain.