Al-Quran membimbing manusia menghadapi keresahan, konflik dalaman

19 Okt 2026 - 6:20am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 18 Oktober. - Keresahan, kegelisahan, tekanan emosi dan konflik dalaman adalah sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia, dan Al-Quran membimbing manusia dalam menghadapi serta menguruskannya.

Tokoh seperti Abu Zayd al-Balkhi menekankan bahawa kesihatan manusia melibatkan kesejahteraan fizikal dan psikologi yang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Islam juga mengajar manusia mengurus keadaan jiwa dengan mengingati Allah, memahami keadaan nafs, dan melihat pengalaman emosi sebagai jalan untuk mengenali diri serta kembali kepada Allah.

Oleh itu, apabila seseorang mengalami kebimbangan, kita jangan terus melabel 'imannya lemah', sebaliknya bertanya : "Apa yang sedang berlaku dalam dirinya, dan bagaimana kita boleh membantunya?".

Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Pendekatan Islam Dalam Meningkatkan Kesihatan dan Kesejahteraan Muslim' yang disampaikan oleh Guru Ugama Sekolah Ugama Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar, Mumong, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Nordin bin Ajmain, dari Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan, Kuala Belait bagi menyerikan Malam Munajat anjuran KHEU Kali Ke-251 pada malam tadi.

Awang Nordin seterusnya menjelaskan, pada masa yang sama, muhasabah, kesabaran, solat, zikir, bacaan Al-Quran dan doa, serta penjagaan tidur, pemakanan, hubungan sosial dan bantuan profesional apabila diperlukan turut penting.

Kesimpulannya tambahnya lagi, kita jangan melihatnya sebagai kelemahan iman dan jangan juga melihatnya hanya sebagai masalah psikologi, kerana menjaga kesihatan jiwa juga merupakan sebahagian daripada amanah Allah kepada kita.

Menyemarakkan program Malam Munajat berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa takmir, belia dan jemaah dari Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait; Persatuan Mualaf Daerah Brunei dan Muara; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara.

Acara Malam Munajat disertai bersama oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Turut menyertai, warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program berkenaan secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Malam Munajat berkenaan dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Penghulu Mukim Kuala Belait, Daerah Belait, Awang Haji Abdul Afiq bin Zainuddin, yang juga bersiaran dari Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait.

Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Pemangku Ketua Kampung Pekan Kuala Belait 'A', Daerah Belait, Awang Haji Muhammad Ammar Muazzam bin Haji Matusof.

Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid dan Imam Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM), KHEU, Awang Abdul Qayyuum bin Haji Aminnuddin.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Imam Tingkat III, Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait, JHEM, KHEU, Awang Abdul Azim bin Haji Abdul Adzid / Haji Abdul Majid.

Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Asma Al-Husna beramai-ramai dipimpin oleh Awang Muhammad Nur Adiib bin Awang Haji Luqman, iaitu belia Masjid RPN Kampung Pandan, Kuala Belait.

Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam (NBD) dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Guru Ugama Sekolah Menengah Perdana Wazir, Kuala Belait, Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU, Pengiran Haji Mohammad Khairol Norlizam bin Pengiran Haji Rosli.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan http://tiny.cc/munajatkheu.