Usaha perkukuh kesejahteraan, kesihatan mental di tempat kerja

2 Okt 2026 - 5:54am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Oktober. – Kementerian Kesihatan melalui Unit Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan (PPK), telah bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) khususnya melalui Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (JTMP), dengan sokongan pihak Safety, Health, Environment National Authority (SHENA) telah menjalankan Bengkel Pelakaran 'Brunei Darussalam Work – Life Balance Policy for All Workplaces' berlangsung di PPK, Kementerian Kesihatan.

Inisiatif pelakaran 'Brunei Darussalam Work-Life Balance Policy for All Workplaces' berkenaan adalah merupakan salah satu tindakan berkepentingan (priority actions) di dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental 2022 – 2025.

Inisiatif yang terkandung di bawah Strategi 1 : Memperkukuh Kepimpinan dan Tadbir Urus yang Berkesan untuk Kesihatan Mental berkenaan akan diteruskan dan dibawa ke dalam dokumen Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam yang seterusnya.

Bengkel pelakaran yang dijalankan selama sehari berkenaan dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Unit Strategi Kesihatan Mental, PPK, Dayang Nor Syahmun bin Haji Matassan.

Bengkel yang disertai oleh lebih kurang 40 perserta yang terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta, serta persatuan-persatuan yang relevan berkenaan dimuatkan dengan sesi penelitian dan penyemakan dokumen yang terhasil daripada bengkel-bengkel sebelumnya, serta sesi perbincangan berkumpulan yang telah dimudah cara oleh fasilitator-fasilitator dari Human Resource Society Brunei Darussalam.

Bengkel pelakaran yang merupakan kali ketiga diadakan berkenaan diharapkan nanti akan dapat membantu merealisasikan aspirasi negara untuk memastikan kesejahteraan dan kesihatan mental setiap penjawat awam, dan juga pekerja di sektor swasta dihargai, dipromosi dan dilindungi dengan setiap orang mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kesejahteraan dan kesihatan mental yang optima, persekitaran kerja yang kondusif, positif, selamat, sihat dan saling menyokong.

Bukan setakat berkenaan, setiap pekerja sama ada penjawat awam mahupun pekerja swasta diharapkan akan boleh mempraktikkan hak asasi mereka tanpa rasa takut, atau diskriminasi, dengan sokongan para ketua yang tidak camah mata, dan sentiasa prihatin akan kesejahteraan orang bawahan.

Semua pihak akan berusaha mengambil langkah-langkah keselamatan di tempat kerja, dan mengurangkan risiko.