Usaha pembasmian kemiskinan akan terus diperkukuhkan

12 Og 2026 - 8:06am

Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji Ali

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Mengenai tahap keberkesanan peranan Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan, Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan dan program yang diungkayahkan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menilai keberkesanan usaha pembasmian kemiskinan berdasarkan keberhasilan dan impak bukan semata-mata berdasarkan jumlah bantuan atau program yang dilaksanakan.

Ke arah ini, fokus strategik kementerian adalah untuk memperkukuh penyelarasan, memastikan pemadanan intervensi lebih bersasar dan bersepadu serta mempertingkatkan pemantauan berasaskan hasil bagi mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan dan meningkatkan kemandirian sosioekonomi penerima secara berterusan.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa menjawab persoalan yang diutarakan oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof dan Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Zainal berkaitan dengan pembasmian kemiskinan khususnya berhubung dengan penilaian keberkesanan mekanisme dan juga pembasmian kemiskinan secara menyeluruh pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

Sehubungan itu jelas Yang Berhormat, KKBS memperkukuhkan keberkesanan usaha mengurangkan kemiskinan dan kebergantungan kepada kerajaan melalui tiga pendekatan utama.

Kongsi Yang Berhormat, pendekatan utama tersebut ialah pertama memperkukuh pengintegrasian dasar dan pelan tindakan serta pelaksanaan intervensi agar ia selaras dan saling melengkapi melalui Jawatankuasa Khas Isu Kemiskinan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial, MKIS. Jawatankuasa ini berperanan sebagai penyelaras, pemantau dan penilai utama pembasmian kemiskinan secara inklusif dan komprehensif di peringkat kebangsaan.

Ini tambah Yang Berhormat, termasuk melalui penyelarasan dengan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia serta Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bagi mengurangi silo, memastikan peranan setiap agensi lebih jelas dan setiap inisiatif menghasilkan impak yang nyata dan boleh diukur sewajarnya.

Pendekatan kementerian ini adalah selaras dengan apa yang telah dibentangkan dalam perbahasan Usul Menyokong Penyelarasan Ke Arah Mencapai Wawasan Brunei 2035 pada 3 Ogos yang lalu oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri iaitu untuk menangani isu kemiskinan yang bersifat multidimensi sebagai agenda nasional yang bertanggungjawab bersama jelas Yang Berhormat.

Kedua ujar Yang Berhormat, memastikan kesinambungan pelaksanaan Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan 2020-2024 bagi memperkukuh ekosistem masyarakat progresif melalui kerjasama kementerian dan agensi peneraju dalam bidang pekerjaan, latihan keusahawanan, pembangunan keluarga kemahiran, pendidikan serta penyediaan ekosistem sokongan bagi membantu penerima meningkatkan keupayaan bantuan dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan sahaja.

Sehubungan dengan itu kongsi Yang Berhormat, beberapa pencapaian cumulative terkini dari tahun 2016 telah direkodkan dari aspek pelaksanaan dan penyertaan intervensi di bawah Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan seperti Pelan Pekerjaan yang telah membantu 1,037 penerima bantuan dan ahli keluarga memperoleh pekerjaan melalui pemadanan pekerjaan dan kerjasama dengan majikan; Program Keusahawanan bersama Darussalam Enterprise, DARe dan LiveWIRE yang telah disertai oleh 643 penerima bantuan; Program Latihan Kemahiran melalui Pusat Pembangunan Belia, LiveWIRE Brunei dan juga Darussalam Enterprise dan BIBD SEED yang telah memberi manfaat kepada 180 peserta; Program Inovasi Belia Berwawasan, PIBB yang memberi laluan pembangunan kepada anak-anak penerima bantuan dengan 86 penyertaan dan 49 daripadanya berjaya memperoleh pekerjaan.

"Juga melalui Program Tuisyen Percuma kepada anak-anak penerima bantuan yang telah menerima manfaat kepada 246 pelajar sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan; selain itu, Program Komuniti bersama Majlis Perundingan Kampung juga dilaksanakan bagi memberikan latihan, bimbingan dan sokongan pembangunan perusahaan di peringkat komuniti," tambah Yang Berhormat lagi.

Ketiga, memaksimumkan penggunaan Sistem Kebajikan Negara (SKN) sebagai mekanisme pemberian sokongan pengumpulan data dan maklumat serta menganalisis data welfare mapping yang teratur dan sistematik dalam merancang dan memberikan intervensi yang lebih bersasar, tepat dan inklusif terang Yang Berhormat.

Berdasarkan analisis data daripada SKN jua jelas Yang Berhormat, perkembangan sosioekonomi semasa serta amalan terbaik serantau dan penilaian pelan tindakan terdahulu akan digunakan dalam memuktamadkan penyediaan Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan 2026-2029.

Di sini tumpuan diberikan kepada intervensi yang lebih bersasar, pengukuhan transition pathways ke arah pekerjaan dan keusahawanan, pemerkasaan institusi keluarga serta mekanisme pemantauan yang lebih berasaskan hasil, outcome-based monitoring ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya berkata, menyentuh mengenai sejauh manakah kementerian mempertimbangkan pendekatan social contract bagi penerima yang berkeupayaan, able-bodied untuk memperkukuh keberkesanan bantuan kebajikan, jelas bahawa dasar dan pelaksanaan bantuan kebajikan di bawah KKBS bukan sekadar bertujuan untuk memenuhi keperluan asas penerima tetapi juga menjadi pemangkin bagi memperkasa mereka agar mampu berdikari, meningkatkan taraf kehidupan dan akhirnya keluar daripada kebergantungan kepada bantuan kerajaan.

Prinsip ini tambah Yang Berhormat adalah selaras dengan pendekatan social contract yang menekankan tanggungjawab bersama antara kerajaan dan penerima bantuan dalam mencapai kesejahteraan yang lebih mampan.

"Setakat ini seramai 14,677 orang masih menerima bantuan kebajikan secara aktif. Daripada jumlah tersebut 14,079 orang atau 95.9 peratus merupakan penerima yang dikategorikan sebagai able-bodied and able to work. Bagi kumpulan ini, pendekatan kementerian bukan hanya tertumpu kepada pemberian bantuan malah turut memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan, peningkatan kemahiran dan penyediaan laluan peralihan, transition pathways ke arah pekerjaan, keusahawanan dan kehidupan yang lebih berdikari.

"Walaupun pada masa ini pendekatan tersebut belum dilaksanakan sebagai satu syarat mandatori atau perjanjian formal kepada semua penerima bantuan, memandangkan setiap penerima mempunyai latar belakang, tanggungjawab, keluarga dan tahap keupayaan yang berbeza, JAPEM secara berterusan menggalakkan serta membimbing penerima yang berkeupayaan untuk menyertai pelbagai program pemerkasaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka," kongsi Yang Berhormat.

Ujar Yang Berhormat lagi, sebagai langkah ke hadapan dalam menangani isu kemiskinan yang bersifat multidimensi, kementerian akan terus meneliti bagaimana pendekatan social contract ini boleh diperkukuhkan secara lebih sistematik dan seimbang termasuk memperkukuhkan laluan peralihan bagi penerima bantuan yang berkeupayaan melalui kerjasama yang lebih erat dengan agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan organisasi masyarakat.

Pada masa yang sama jelas Yang Berhormat, kementerian sedang dan terus memperkukuh mekanisme, pemantauan, pengurusan jurang pelaksanaan secara lebih strategik dan berasaskan hasil dan keperluan bagi menilai keberkesanan intervensi secara lebih menyeluruh khususnya dari segi peningkatan keupayaan, penyertaan ekonomi, pengurangan kebergantungan kepada bantuan serta menghasilkan laluan dan perubahan sosioekonomi yang lebih mampan kepada golongan sasaran.

"InsyaaAllah, dengan pendekatan yang lebih bersepadu antaranya penggunaan kaedah Kerangka Keselamatan Sosial Berfasa Kehidupan atau Life Stage Social Security Framework bagi memastikan tiada keciciran dan intervensi awal dengan berasaskan data dan berorientasikan hasil. Kementerian yakin usaha pembasmian kemiskinan akan terus diperkukuhkan selaras dengan aspirasi Social Blueprint dan Wawasan Brunei 2035," kata Yang Berhormat.