Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT, Sabtu, 26 September. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam (NBD), dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam, berangkat menghadiri hari kelima Perdebatan Umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Sesi Ke-81 di Ibu Pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen telah mengurniakan sabda Kenyataan Kebangsaan NBD di Perdebatan Umum.
Duli Yang Teramat Mulia memulakan sabda dengan menyampaikan salam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kepada Perhimpunan Agung.
DYTM juga bersabda mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Dr. Khalilur Rahman atas pelantikan sebagai Presiden Perhimpunan Agung PBB Sesi Ke-81, merakamkan penghargaan kepada Puan Yang Terutama Annalena Baerbock atas kepimpinan sebagai Presiden Perhimpunan Agung PBB Sesi Ke-80, dan kepada Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama António Guterres, atas khidmat kepada pertubuhan berkenaan.
DYTM seterusnya bersabda menyentuh mengenai tema pada sesi kali ini, iaitu 'Restoring Trust, Managing Transformation : A United Nations that Delivers for All', dan menekankan kepentingan untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan antara negara.
Dalam sabda juga, DYTM menyatakan bahawa bagi NBD, multilateralisme memberikan jaminan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara dihormati, di samping memastikan setiap negara, tanpa mengira saiz, mempunyai suara dalam arena antarabangsa.
DYTM selanjutnya bersabda menegaskan bahawa Piagam PBB hendaklah kekal sebagai asas kebersamaan bagi semua negara ahli, dengan prinsip - prinsipnya ditegakkan secara konsisten bagi memelihara legitimasi dan kredibiliti pertubuhan berkenaan.
DYTM turut bersabda menyentuh mengenai isu Palestin dan melahirkan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan berterusan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, termasuk kehilangan nyawa dalam kalangan petugas perubatan, wartawan, pekerja kemanusiaan dan kakitangan PPB.
Dalam sabda juga, DYTM menyeru agar undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip piagam diterapkan secara sama rata kepada semua dan menegaskan semula bahawa keamanan yang adil dan berkekalan memerlukan punca utama konflik untuk ditangani serta hak sah rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota, direalisasikan.
DYTM juga bersabda menyatakan bahawa perkara berkenaan kekal sebagai ujian penting terhadap kredibiliti PBB, khususnya Majlis Keselamatan PBB.
Dalam sabda, DYTM juga menarik perhatian terhadap kesan konflik yang lebih meluas di rantau berkenaan, termasuk di Lubnan, di mana tentera pengaman PBB turut kehilangan nyawa semasa menjalankan tugas, serta menyentuh mengenai Resolusi 2823 Majlis Keselamatan yang NBD turut menaja bersama, dalam memperkukuh akauntabiliti terhadap jenayah yang dilakukan ke atas tentera pengaman PPB.
DYTM turut bersabda menekankan keperluan untuk menangani cabaran-cabaran baharu, daripada konflik dan perubahan iklim kepada pembangunan mampan dan teknologi baharu, di samping memastikan transformasi dapat memperkukuh kerjasama dan bukannya memperdalam perpecahan.
DYTM bersabda memberikan contoh ASEAN sebagai kerjasama serantau yang berasaskan dialog, sikap menahan diri dan penglibatan berterusan.
Bersempena dengan Ulang Tahun Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia (TAC) yang Ke-50, DYTM bersabda menekankan bahawa prinsip-prinsip TAC mengenai penghormatan terhadap kedaulatan, penyelesaian pertikaian secara aman, tidak campur tangan dan kerjasama antara negara mencerminkan prinsip-prinsip asas Piagam PBB.
DYTM seterusnya bersabda menyatakan bahawa TAC memperkukuh sistem multilateral, dengan pengalaman ASEAN menunjukkan bahawa institusi kekal relevan apabila peraturan dihormati, dialog terus terbuka dan perbezaan diurus secara aman.
Oleh itu, DYTM bersabda menekankan bahawa prinsip-prinsip yang sama harus menjadi panduan kepada PBB, dengan pembaharuan memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan pertubuhan berkenaan untuk mencegah krisis, bertindak balas secara berkesan kepada negara-negara ahli dan memberikan hasil yang bermakna kepada rakyat.
Sehubungan itu, DYTM bersabda menegaskan semula sokongan NBD terhadap Pact for the Future dan UN80 Initiative, dengan menyatakan bahawa pembaharuan harus memperkukuh kecekapan, kredibiliti dan keberkesanan PBB.
DYTM seterusnya bersabda menegaskan bahawa PBB yang memberikan manfaat kepada semua pada akhirnya mestilah memberikan manfaat kepada rakyat, selaras dengan 2030 Agenda for Sustainable Development.
DYTM turut bersabda mengetengahkan Wawasan Brunei 2035 yang memberi tumpuan kepada pencapaian rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya; kualiti hidup yang tinggi; serta ekonomi yang dinamik dan mampan.
Seterusnya DYTM bersabda menyatakan bahawa kemajuan negara bukan hanya bergantung kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memerlukan pelaburan terhadap rakyat dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.
DYTM bersabda turut menekankan kepentingan kestabilan dan pembangunan dalam mewujudkan peluang yang bermakna serta membolehkan rakyat mencapai potensi sepenuhnya.
Dalam mengakhiri sabda, DYTM menegaskan bahawa usaha mengembalikan keyakinan terhadap sistem antarabangsa memerlukan komitmen yang ditunaikan, undang - undang antarabangsa yang diterapkan secara sama rata, kedaulatan yang dihormati dan dialog diutamakan berbanding konfrontasi.
DYTM bersabda, "Dunia tidak memerlukan satu lagi janji yang gagal kita tunaikan. Sebaliknya, kita perlu menunaikan janji-janji yang telah dibuat", sambil menegaskan bahawa pelaksanaan komitmen yang sedia ada adalah penting dalam memulihkan kredibiliti, memastikan multilateralisme serta undang - undang antarabangsa terus kekal relevan, dan seterusnya membina sebuah PPB yang mampu memberikan manfaat kepada semua.
Ke arah itu DYTM bersabda menegaskan kesediaan NBD untuk memainkan peranannya.
Pada sebelah malam, DYTM berangkat mengadakan pertemuan dengan His Highness Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Emiriah Arab Bersatu, di kediaman peribadi His Highness di New York, Amerika Syarikat.
Kedua-dua belah pihak bertukar - tukar pandangan mengenai perkara-perkara dua hala yang berkepentingan, termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pelancongan, tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur digital, serta pertukaran lawatan peringkat tinggi.