Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 27 September. - Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dengan kerjasama Kumpulan Belia Masjid An-Na'im, Kampung Panchor Mengkubau, telah mengungkayahkan Bengkel Azan dan Iqamah bagi Belia Masjid Daerah Brunei dan Muara.
Acara berkenaan berlangsung di masjid berkenaan.
Bengkel yang diadakan secara berperingkat di seluruh daerah berkenaan merupakan antara usaha untuk memakmurkan masjid sebagai pusat perkumpulan umat Islam, di samping menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan.
Program berkenaan juga dihasratkan untuk menjadikan masjid sebagai wadah dakwah dalam menarik minat belia agar lebih dekat dan aktif dalam kegiatan masjid serta membentuk akhlak yang berteraskan keislaman.
Bengkel berkenaan bertujuan untuk memperbaiki, menghalusi dan meningkatkan mutu laungan azan dan iqamah para peserta supaya menepati adab, hukum tajwid dan seni dalam laungan azan.
Antara pengisian bengkel termasuk pembetulan sebutan dan makhraj huruf, penjagaan hukum tajwid, teknik pernafasan dan kawalan suara, serta pengenalan kepada asas seni tarannum seperti lagu Hijaz, Rast, Bayati dan Nahawand.
Bengkel berkenaan dikendalikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Bahagian Bimbingan dan Latihan, JHEM, Awang Haji Maarof bin Haji Chuchu.
Antara pengisian yang dijalankan ialah teori azan, praktikal, penilaian peserta, penyampaian sijil serta Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan.
Semoga dengan adanya program seumpama berkenaan para peserta diharap akan dapat memahami dan menghayati makna azan, meningkatkan keyakinan dalam melaungkan azan serta seterusnya melahirkan pelapis muazzin dalam kalangan belia masjid.