Upacara Penurunan Bendera Besar NBD sempurna dilaksanakan

9 Og 2026 - 8:27am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. – Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam (NBD) sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 telah diadakan hari ini di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Kampung Pintu Malim, Awangku Haji Muhammad Syukri bin Pengiran Haji Sulaiman.

Upacara diteruskan dengan pergerakan masuk seramai 80 anggota Pasukan Pembawa Bendera NBD yang diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB). Seterusnya, Pasukan Pengibaran Bendera Besar NBD turut bergerak masuk dengan iringan pancaragam yang sama.

Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dinyanyikan oleh pasukan koir dari Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.

Kemuncak upacara ialah penurunan dan penyerahan Bendera Besar NBD berukuran 3.7 meter (m) x 7.5m kepada tetamu kehormat majlis.

Turut hadir, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Ahli-ahli Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Ke-80, Tahun 2026 yang terdiri daripada Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan timbalan-timbalan ketua jabatan.

Hadirin lain termasuk penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung di Daerah Brunei dan Muara, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta para jemputan.

Upacara Penurunan Bendera Besar NBD berkenaan menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera peribadi bagi Pengiran-pengiran dan mereka yang dikurniakan gelaran, serta bendera NBD bagi orang ramai termasuk di bangunan-bangunan dan premis-premis perniagaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80, Tahun 2026.