UNISSA, QUT perluas kerjasama dalam mobiliti pelajar, penyelidikan

1 Okt 2026 - 6:47am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hari ini mengalu-alukan Universiti Teknologi Queensland (QUT) bagi perbincangan strategik lanjut mengenai memperdalam dan mengembangkan perkongsian antara kedua-dua institusi.

QUT diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Antarabangsa) dan Naib Presiden Pembangunan Perniagaan, Profesor Mark Harvey.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Michael Hoy; dan Pemangku Rektor UNISSA, Profesor Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad termasuk ahli akademik Fakulti Teknologi Islam dan Pusat Perhubungan Promosi Antarabangsa, UNISSA.

Lawatan tersebut menandakan satu lagi peristiwa penting antara kedua-dua institusi, di samping menyediakan platform bagi membincangkan peluang untuk memperluas Program Mobiliti Pelajar yang telah sedia terjalin, selain meneroka kerjasama dalam bidang penyelidikan serta bidang-bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.

QUT, yang berpangkalan di Brisbane, Australia, merupakan sebuah universiti yang diiktiraf di peringkat global dan tersenarai di antara 250 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings. Universiti ini terkenal dengan penekanan yang kuat terhadap pembelajaran praktikal, penyelidikan dan kerjasama antarabangsa.

Kerjasama antara QUT dan UNISSA berkembang secara berperingkat sejak inisiatif penghantaran pelajar untuk Program Pelajar Luar Negara melalui Fakulti Teknologi Islam. Program tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai persekitaran akademik antarabangsa di luar kampus asal mereka. Sehingga kini, UNISSA telah menghantar empat kumpulan pelajar, yang kesemuanya mencapai gred yang sangat baik.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dekan Fakulti Teknologi Islam, Profesor Dr. Haji Abdul Hafidz bin Haji Omar merakamkan penghargaan kepada Profesor Harvey kerana melakukan perjalanan ke NBD dengan menyifatkan lawatan tersebut sebagai cerminan komitmen QUT untuk mengukuhkan perkongsian itu. Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Australia ke NBD atas sokongan Suruhanjaya Tinggi Australia untuk hubungan pendidikan dan institusi antara Australia dan NBD.

Sementara itu, Profesor Mark Harvey dalam ucapan balasnya melahirkan rasa gembira terhadap peluang untuk meneroka bentuk kerjasama baharu antara QUT dan UNISSA.

Kerjasama berkenaan dijangka merangkumi bidang mobiliti pelajar dan program pengajian luar negara, penyelidikan bersama serta kerjasama akademik, laluan pengajian atau ‘articulation pathways’, di samping bidang-bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.

Kunjungan tersebut diakhiri dengan perbincangan mengenai hala tuju kerjasama pada masa akan datang, dengan kedua-dua institusi menyatakan komitmen untuk membangunkan inisiatif yang bermakna dan mampan demi memberikan manfaat kepada para pelajar, ahli akademik serta komuniti universiti secara keseluruhannya.