Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September. - Asia Inc. Forum hari ini mengadakan THRIVE Town Hall Forum yang bertemakan 'Agility: Navigating a World of Disruption', bertempat di Radisson Hotel, Bandar Seri Begawan, di sini.
Forum tersebut menghimpunkan pemimpin perniagaan, usahawan, pakar teknologi dan pembuat dasar untuk membincangkan bagaimana organisasi di Negara Brunei Darussalam (NBD) dapat menyesuaikan diri, bersaing dan berkembang seiring dengan perubahan teknologi dan pasaran.
Atur cara dimulakan dengan sabda daripada Pengerusi Baiduri Bank, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr. Abdul Fattaah ibni Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, diikuti dengan enam sesi perbincangan yang mengetengahkan pelbagai isu berkaitan daya tahan, inovasi dan pertumbuhan perniagaan.
Sesi pertama membincangkan sama ada saiz NBD merupakan kekuatan utamanya atau batasannya menampilkan Pengasas, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Vobile Group (USA), Yangbin Wang; dan Pengasas dan Group CEO Cybersafe (Republik Singapura), Dave Gurbani; dan dipengerusikan oleh Pengerusi Asia Inc. Forum, Dato Timothy Ong.
Perbincangan seterusnya mengenai pengetahuan tempatan ke standard global, menampilkan Pengasas SiapStudio (Malaysia), Ian Low; dan dipengerusikan oleh Ketua Startups and Emerging Enterprises di Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (Brunei Economic Development Board - BEDB), Reuben Chin.
Program kemudiannya beralih kepada tema-tema praktikal.
Satu forum terbuka mengenai bagaimana teknologi dapat membantu PKS bersaing dipimpin oleh pembentang dari Progresif, BruGPS dan Innov8 Labs, serta dipengerusikan oleh Dayang Siti Rozana Dato Haji Mohd. Yunos dari Dynamik Technologies.
Sesi seterusnya mengenai AI dan masa depan pekerjaan, yang menampilkan Mr. Nathaniel Diong dari Future Minds Network (Australia), bersama-sama pembentang tempatan dari Baiduri Bank, BumiTrust AI dan Nextacloud, dan Pengasas dan Presiden Brunei4AI, Awang Rahimin Amin, selaku moderator.
Pemimpin perniagaan dari Baiduri Finance, CUCKOO, National Insurance, Print Plus dan Darussalam Enterprise (DARe) kemudiannya berkongsi nasihat praktikal mengenai ketangkasan dan daya tahan, dipengerusikan oleh Dayang Mariah Zaharaa dari Oddbox Media & Communications.
Acara diakhiri dengan Pengasas dan CEO Momomio (Republik Indonesia), Austi Nurani, yang menceritakan mengenai penubuhan syarikat tersebut, dalam perbualan bersama Pg. Hanna dari Country Lead Asia Inc. Forum.
Penganjuran THRIVE 2026 direalisasikan dengan sokongan pelbagai rakan strategik. Baiduri Bank merupakan Rakan Utama, manakala BEDB sebagai Rakan Strategik dan Vobile Group sebagai Rakan AI.
Sementara, National Insurance, Progresif, QAF, HAHD, CUCKOO dan Print Plus pula adalah Community Partners, dan Radisson Hotel selaku Hospitality Partner.