Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 18 September. - Negara Brunei Darussalam (NBD) bersama dengan negara-negara di seluruh dunia menyambut Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada 17 September setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, kefahaman global dan tindakan bersama dalam meningkatkan keselamatan pesakit, selaras dengan Resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia WHA72.6.
Pada tahun ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan tema sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia, iaitu 'Penjagaan Selamat bagi Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit' (Safe Care for Noncommunicable Diseases - NCDs), dengan slogan 'Penjagaan Selamat Sepanjang Hayat!'.
Tema ini menekankan kepentingan penjagaan yang selamat, berkualiti dan berkesinambungan sepanjang hayat, selaras dengan keutamaan Pelan Strategik Kementerian Kesihatan dan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Hari Keselamatan Pesakit Sedunia pada 17 September 2026.
Jelas Yang Berhormat lagi, penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti penyakit kardiovaskular, strok, diabetes, kanser, obesiti dan penyakit pernafasan kronik terus menjadi antara punca utama morbiditi, kehilangan upaya dan kematian pramatang di NBD.
Tambah Yang Berhormat, individu yang menghidap penyakit-penyakit berkenaan lazimnya memerlukan penjagaan kesihatan secara berterusan dan berpanjangan, termasuk pengambilan pelbagai jenis ubat-ubatan serta pemantauan dan rawatan susulan secara berkala.
"Pengurusan penyakit tidak berjangkit yang kompleks dan berpanjangan boleh meningkatkan risiko terhadap keselamatan pesakit, termasuk kesilapan dalam preskripsi dan pengurusan ubat-ubatan, kelewatan diagnosis serta penjagaan yang tidak bersepadu.
"Bagi pesakit yang menghidap lebih daripada satu penyakit dan menerima rawatan daripada beberapa orang pakar, penyelarasan yang tidak mencukupi boleh menyebabkan pelan rawatan bertindih atau bercanggah, sekali gus meningkatkan risiko interaksi ubat, kesan sampingan dan kemudaratan kepada pesakit.
"Oleh yang demikian, komunikasi yang jelas dan penyelarasan yang berkesan dalam kalangan pasukan kesihatan, pesakit dan keluarga, adalah sangat penting bagi memastikan kesinambungan penjagaan dan mengurangkan risiko kesilapan," kata Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya menekankan pengesanan dan diagnosis yang betul serta tepat pada masanya juga merupakan antara aspek penting dalam keselamatan pesakit. Kelewatan atau kesilapan diagnosis boleh menjejaskan kesihatan pesakit, di samping memberi implikasi kepada sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi negara.
Laporan daripada Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) kata Yang Berhormat lagi, menganggarkan bahawa beban kewangan yang berkaitan dengan kelewatan diagnosis secara keseluruhannya boleh mencecah kira-kira 17.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan penjagaan kesihatan.
Beban kewangan sedemikian tambah Yang Berhormat, merupakan sumber yang amat bernilai dan berpotensi untuk dimanfaatkan dengan lebih berkesan melalui pengukuhan usaha pencegahan, saringan, pengesanan awal serta intervensi dan rawatan yang bersesuaian.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah kos dan beban rawatan akibat diagnosis yang terlepas atau lewat terus meningkat dari tahun ke tahun. Tekanan darah tinggi yang tidak dikesan, misalnya, boleh mengakibatkan strok, manakala diabetes yang tidak didiagnosis atau tidak dikawal dengan baik boleh membawa kepada komplikasi serius seperti kegagalan buah pinggang, kehilangan penglihatan dan amputasi.
"Kelewatan ini semuanya meningkatkan risiko komplikasi, kemasukan ke hospital secara berulang serta perbelanjaan penjagaan kesihatan yang sebenarnya boleh dielakkan. Oleh itu, pelaburan dalam memperkukuh keupayaan pengesanan dan diagnosis awal merupakan langkah penting dalam mengurangkan beban penyakit serta kos rawatan dalam jangka masa yang panjang," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat turut menjelaskan siasatan terhadap punca kesilapan diagnosis turut menunjukkan bahawa hampir 70 peratus daripadanya berlaku semasa proses ujian dilaksanakan, sama ada pada peringkat ujian sampel, memperoleh keputusan ujian sampel ataupun ketika penyampaian keputusan ujian sampel. Manakala, 12 peratus lagi berlaku pada peringkat pemantauan dan susulan rawatan.
Dapatan ini kata Yang Berhormat lagi, menunjukkan bahawa sebahagian besar cabaran berkenaan berpunca daripada kelemahan dalam sistem dan proses penjagaan. Kelemahan sistem, bagaimanapun, merupakan aspek yang boleh dikenal pasti, diperbaiki dan diperkukuh melalui penambahbaikan proses, tadbir urus klinikal dan amalan kerja yang lebih selamat.
Dalam usaha untuk meningkatkan penjagaan kesihatan yang lebih selamat bagi penyakit-penyakit tidak berjangkit, Yang Berhormat seterusnya menegaskan peranan para pesakit dan keluarga adalah sangat penting kerana setiap individu yang hidup dengan penyakit tidak berjangkit lazimnya mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai keadaan kesihatan, rawatan serta keperluan mereka sendiri.
Ahli keluarga kata Yang Berhormat lagi, merupakan seseorang yang sangat berharga dalam mengenal pasti risiko dan mencegah kesilapan. Kementerian Kesihatan turut menyediakan platform MOHcares sebagai salah satu saluran bagi orang ramai menyampaikan aduan, maklum balas dan cadangan berkaitan perkhidmatan kesihatan.
Melalui Bahagian Perhubungan Korporat, Kementerian Kesihatan juga ujar Yang Berhormat, setiap maklum balas yang diterima dapat disalurkan kepada pihak yang berkaitan untuk penelitian dan tindakan susulan yang sewajarnya.
"Pendekatan ini adalah penting dalam mengenal pasti ruang penambahbaikan, menangani isu yang dibangkitkan serta memperkukuh kualiti dan keselamatan perkhidmatan kesihatan secara berterusan.
"Kementerian Kesihatan terus komited dalam memberikan komitmen yang tinggi dalam menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit melalui pelaksanaan pelbagai pelan tindakan di peringkat kebangsaan termasuk usaha-usaha yang selaras dengan pelan pembangunan jangka panjang negara, antaranya Pelan Tindakan Pelbagai Sektor bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Negara Brunei Darussalam (BruMAP-NCD) berlandaskan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat, dengan struktur tadbir urus kementerian-kementerian yang menghimpunkan dan agensi-agensi yang berkaitan bersama-sama dalam usaha menangani penyakit tidak berjangkit yang merangkumi aspek pencegahan, pengesanan awal, rawatan serta susulan dan pengurusan jangka panjang," jelas Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan Wawasan Brunei 2035 berhasrat untuk mencapai taraf hidup yang tinggi dan setanding dengan negara maju. Sehubungan itu, penyediaan penjagaan kesihatan yang selamat, berkualiti dan berkesinambungan, khususnya bagi penyakit tidak berjangkit, adalah penting dalam memelihara kesihatan, produktiviti dan kesejahteraan rakyat.
Sempena Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia ini, Yang Berhormat ingin mengambil kesempatan berkenaan menyeru kepada semua pihak agar memainkan peranan masing-masing dalam memperkukuh keselamatan pesakit, khususnya warga kerja kesihatan, agar sentiasa mengutamakan ketepatan diagnosis, keselamatan dalam penggunaan ubat-ubatan serta ketepatan masa dalam pelaksanaan susulan rawatan bagi setiap pesakit yang hidup dengan penyakit tidak berjangkit.
Yang Berhormat seterusnya menyeru para pemimpin dan pentadbir kesihatan, agar terus memperkukuh sistem pelaporan serta pembelajaran daripada insiden, tadbir urus klinikal dan usaha penambahbaikan kualiti secara berterusan; manakala para pesakit bersama keluarga, agar melibatkan diri secara aktif sebagai rakan kongsi dalam penjagaan kesihatan mereka sendiri, termasuk menghadiri temu janji yang telah ditetapkan, mematuhi rawatan yang dipreskripsikan serta menyuarakan sebarang kebimbangan yang timbul.
"Masyarakat umum, agar memberikan sokongan kepada usaha Kementerian Kesihatan dalam menggalakkan amalan pemakanan sihat, meningkatkan aktiviti fizikal serta memperkukuh kawalan tembakau, agar lebih ramai rakyat dan penduduk negara ini dapat mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit serta komplikasi sejak dari peringkat awal.
"Akhirnya, sempena Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2026 ini, marilah kita memperbaharui komitmen sebagai sebuah kementerian, sebuah sistem kesihatan dan sebuah negara untuk memastikan setiap pesakit di NBD yang hidup dengan penyakit tidak berjangkit menerima penjagaan yang selamat dan berkualiti," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.