Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 27 Oktober. - Berdasarkan Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2025, terdapat seramai 11,600 pencari kerja, dengan kadar pengangguran belia berumur 18 hingga 24 tahun mencecah 18.0 peratus.
Ditambah pula dengan lebih 6,000 graduan baharu daripada institusi pengajian tinggi yang memasuki pasaran kerja pada tahun ini, usaha menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian serta memastikan padanan yang lebih baik antara pencari kerja dengan keperluan industri menjadi semakin penting.
Perkara berkenaan dinyatakan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, semasa Sesi Dialog Tenaga Manusia Bersama Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, berlangsung di Ruang Legar, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Menurut Yang berhormat, pasaran tenaga kerja juga semakin berubah dan industri memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran bersesuaian, produktif dan berdaya saing, di samping memiliki pelbagai kemahiran serta mampu menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan yang sentiasa berubah.
"Dunia pekerjaan kini turut dipengaruhi oleh Kecerdasan Buatan (AI), pendigitalan dan teknologi baharu.
"Pada masa yang sama, pertumbuhan sektor-sektor baharu dan bernilai tinggi, seperti industri hiliran minyak dan gas, agrimakanan dan perikanan, pelancongan, telekomunikasi, media digital dan kreatif, pengangkutan dan logistik, serta ‘advanced manufacturing’, membuka potensi peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran khusus.
"Perkembangan sektor-sektor ini perlu diiringi dengan persediaan tenaga kerja dalam kalangan anak-anak tempatan. Oleh itu, kelayakan akademik semata-mata tidak lagi mencukupi," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menekankan tenaga kerja kita perlu terus belajar, meningkatkan dan mempelbagaikan kemahiran dengan kerjasama yang lebih erat antara pihak industri dengan institusi pendidikan dan latihan bagi memastikan kemahiran yang dibangunkan memenuhi keperluan industri.
Pihak kerajaan tambah Yang berhormat, telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan. Namun, peluang yang disediakan perlu disambut dengan kesungguhan dan komitmen.
"Sebagai contoh, dalam Jelajah Kerjaya di keempat-empat daerah baru-baru ini, Pusat Pekerjaan Brunei (PPB) telah memadankan 10,186 orang pencari kerja dengan peluang pekerjaan melalui push SMS, tetapi hanya 87 orang yang hadir untuk temu duga untuk mengambil peluang tersebut.
"Kita perlu memahami sebab di sebalik keadaan ini dan tidak membuat andaian tanpa mengetahui situasi sebenar. Sama ada berkaitan dengan kesesuaian pekerjaan, gaji, lokasi, syarat pekerjaan atau faktor-faktor lain, kita mahu mendengarnya dan mencari jalan untuk memperbaiki," jelas Yang Berhormat.
Dari sudut pihak majikan pula tambah Yang berhormat, kita memahami bahawa pengambilan dan pengekalan pekerja bukan perkara yang mudah. Keperluan tenaga kerja berbeza mengikut sektor, jenis perniagaan dan tahap kemahiran yang diperlukan.
Yang Berhormat juga menyatakan bahawa terdapat juga pertimbangan berkaitan kos operasi, produktiviti dan kemampuan syarikat untuk terus berkembang. Pada masa yang sama, pertumbuhan perniagaan dan pelaksanaan projek pelaburan perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, termasuk pekerjaan berkemahiran yang dapat dimanfaatkan oleh anak tempatan.
Pada masa ini kata Yang Berhormat, terdapat lebih 80,000 pekerja asing dalam sektor swasta. Keadaan ini menunjukkan perlunya kita meneliti peluang yang boleh diisi oleh anak tempatan secara berperingkat melalui perancangan tenaga kerja yang teratur dan latihan yang bersesuaian. Namun, usaha berkenaan bukan hanya tertumpu kepada penyediaan peluang pekerjaan, tetapi juga kepada usaha mengembangluaskan perniagaan.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa menurut Banci Majikan 2025, lebih 5,600 pekerja tempatan menerima gaji kurang daripada BND500 sebulan, termasuk 345 orang yang berkelulusan ijazah sarjana muda dan ke atas. Ganjaran yang setimpal dengan kemahiran dan sumbangan pekerja merupakan antara faktor penting dalam membina tenaga kerja tempatan yang berdaya tahan.
Sesi dialog berkenaan bertujuan untuk memahami keadaan sebenar yang dihadapi oleh majikan dan pencari kerja, termasuk isu serta cabaran yang perlu ditangani bersama. Selain itu, sesi berkenaan juga menjadi landasan bagi majikan dan pencari kerja untuk berkongsi pandangan, idea, persoalan dan kebimbangan secara terbuka, di samping meneroka penyelesaian bersama bagi menangani cabaran berkaitan tenaga manusia.
Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan berkaitan, serta 135 peserta yang terdiri daripada Ahli-ahli Dewan Perniagaan, wakil syarikat swasta serta pencari kerja tempatan.