Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 26 Oktober. - Isu pengangguran, tawaran gaji, kebajikan pekerja dan peluang pekerjaan berkualiti antara perkara yang menjadi tumpuan dalam Sesi Muzakarah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN).
Sesi muzakarah yang berlangsung di KHEDN tersebut dipengerusikan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Manakala rombongan Ahli-ahli MMN diketuai oleh Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Sesi Muzakarah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Pegawai Pemantau Zon 2, Masjid Daerah Brunei dan Muara, Awang Haji Muhd. Azrol Alim bin Haji Zaini.
Sesi Muzakarah diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Ini diikuti ucapan balas daripada Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman.
Sesi kali ini dilaksanakan menggunakan pendekatan Coffee Talk bagi merangsang perbincangan yang lebih terbuka dan konstruktif.
Antara perkara utama yang disentuh termasuk usaha menangani isu pengangguran dan pembangunan tenaga kerja secara lebih bersepadu, berasaskan tindakan serta outcome yang jelas, khususnya dengan mengambil kira jurang antara jumlah pencari kerja dengan peluang pekerjaan berkualiti yang tersedia, selain penerimaan tawaran pekerjaan yang masih kurang memberangsangkan.
Keadaan ini turut menunjukkan perlunya penelitian terhadap faktor seperti tahap gaji dan kebajikan, kesesuaian pekerjaan, lokasi dan pengangkutan, persekitaran kerja serta kesediaan dan kesiapsiagaan tenaga kerja.
Perbincangan turut menekankan bahawa isu pekerjaan tidak boleh ditangani secara terasing daripada prestasi dan pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru itu, usaha mewujudkan pekerjaan berkualiti perlu disokong oleh persekitaran perniagaan dan pelaburan yang lebih kondusif, dasar yang bertindak sebagai pemudah cara, peningkatan Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment) serta pembangunan industri baharu yang mampu menyediakan pekerjaan masa hadapan.
Antara cadangan yang diketengahkan termasuk memperkukuh agenda melalui pelaksanaan upskilling dan reskilling, penyediaan latihan jangka pendek yang menepati keperluan industri, penelitian terhadap nisbah pengambilan pekerja tempatan dan asing, pengukuhan peranan GLC dalam menyediakan pekerjaan berkualiti, sokongan kepada perniagaan dari rumah serta insentif kepada syarikat yang menggaji pekerja tempatan.
Turut diberi perhatian ialah keperluan memahami secara lebih mendalam sebab pekerja tempatan berhenti kerja, meningkatkan kebolehpasaran golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan graduan, memastikan proses pengambilan terus dilaksanakan secara adil dan telus, serta menilai semula dasar atau syarat yang tidak lagi relevan atau terlalu membebankan.
Bagi penerima bantuan yang berkeupayaan bekerja pula, pendekatan yang menggalakkan mereka untuk turut serta dalam pekerjaan atau aktiviti produktif sebagai sebahagian daripada tanggungjawab penerima perlu diselaraskan dengan agensi berkaitan bagi memastikan dasar perlindungan sosial dilaksanakan secara bersepadu.
Sesi muzakarah seumpama ini dihasratkan agar hubungan kerjasama dan persefahaman antara pihak KHEDN dengan Ahli-ahli MMN akan terus diperkukuh, khususnya dalam menangani isu-isu berkaitan tenaga manusia dan sosial serta menyokong pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini.
Turut hadir dalam sesi muzakarah tersebut ialah Setiausaha-setiausaha Tetap KHEDN, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua unit di bawah KHEDN.