Kepentingan kerjasama serantau, memperkukuh daya tarikan Borneo

28 Okt 2026 - 8:10am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

GADONG, Selasa, 27 Oktober. – Meja Bulat Perniagaan Borneo 2026 menghimpunkan agensi promosi pelaburan, penggubal dasar, pemimpin perniagaan dan institusi serantau dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Republik Indonesia, Sabah dan Sarawak bagi memajukan agenda bersepadu untuk mempromosikan Borneo sebagai destinasi pelaburan mampan.

Di bawah tema 'Invest Borneo: Building a Shared Investment Agenda', Meja Bulat tahun ini yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, meneruskan tumpuan edisi 2025 terhadap perdagangan dan kesalinghubungan intra-Borneo, dengan mengalihkan perbincangan ke arah promosi pelaburan secara bersama.

Meja Bulat berkenaan dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei Darussalam (ASEAN-BAC) dan Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei Darussalam (ABAC) di bawah Program Ekonomi Brunei, dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri serta Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UN ESCAP).

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi ABAC NBD, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Brunei, dan Pegawai Hal Ehwal Ekonomi, Bahagian Perdagangan, Pelaburan dan Inovasi, UN ESCAP, Dr. Heather Lynne Taylor-Strauss.

Kedua-duanya menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam memperkukuh daya tarikan Borneo sebagai destinasi pelaburan serta mengalu-alukan penyertaan agensi promosi pelaburan dari seluruh sub-rantau berkenaan.

Pada majlis itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) turut menyampaikan ucaptama pembukaan.

Dalam ucaptamanya, Yang Mulia Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri menegaskan semula komitmen NBD untuk mempererat kerjasama ekonomi dengan negara-negara jirannya di Borneo, serta menekankan peranan promosi pelaburan yang diselaraskan dalam mewujudkan peluang baharu bagi para pengusaha di seluruh sub-rantau berkenaan.

Ucapan pembukaan seterusnya disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Meja Bulat berkenaan berpandukan inisiatif Invest Borneo oleh UN ESCAP yang dibiayai oleh Bank Pembangunan Islam.

Penasihat Serantau di Pejabat Subrantau UN ESCAP bagi Asia Tenggara, Madelyn Almazora menjelaskan perkembangan penyediaan pelan tindakan promosi pelaburan sub-rantau yang sejajar dengan Pelan Tindakan Promosi Pelaburan Serantau ASEAN 2025-2030.

Pelan berkenaan bertujuan menyediakan rangka kerja bagi membolehkan agensi promosi pelaburan mengenal pasti sektor yang saling melengkapi, menetapkan keutamaan bersama dan menyelaraskan usaha promosi, dengan tetap menghormati mandat setiap negara.

Agensi promosi pelaburan yang mengambil bahagian kemudiannya membentangkan keutamaan pelaburan, sektor sasaran dan tawaran pelaburan masing-masing.

Pembentangan disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Daniel Leong; Pengarah Pusat Promosi Pelaburan Indonesia (IIPC) Singapura, Irma Rachmiyati; dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Berhad, Kevin George Ukang.

Sesi utama, iaitu perbincangan meja bulat bertajuk 'From Collaboration to Investment Partnerships', meneliti bidang yang mempunyai potensi untuk saling melengkapi, termasuk tenaga, logistik, pelancongan, penjagaan kesihatan, makanan, perkhidmatan digital, infrastruktur dan zon ekonomi khas.

Sesi berkenaan turut membincangkan bagaimana keutamaan bersama dapat diterjemahkan kepada projek yang berdaya maju serta tawaran pelaburan yang menarik.

Perbincangan itu menghimpunkan wakil kanan agensi promosi pelaburan dari NBD, Republik Indonesia, Sabah dan Sarawak, bersama pemimpin daripada sektor perbankan, tenaga, perkhidmatan digital, pelaburan berdaulat dan pendidikan, serta organisasi perniagaan dan dasar serantau Republik Indonesia.

Sesi yang dikendalikan oleh UN ESCAP itu menyediakan platform bagi perkongsian pandangan sektor awam dan swasta mengenai cara sub-rantau berkenaan dapat meningkatkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan yang lebih berdaya saing.

Meja Bulat tersebut merumuskan bahawa potensi pelaburan Borneo dapat direalisasikan dengan lebih menyeluruh apabila NBD, Republik Indonesia, Sabah dan Sarawak mengetengahkan tawaran pelaburan yang diselaraskan kepada para pelabur, berasaskan kekuatan yang saling melengkapi dan bukannya persaingan.

Para peserta mengenal pasti sektor tenaga, logistik, keterjaminan makanan, pelancongan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan digital sebagai bidang yang berpotensi untuk kerjasama.

Mereka turut menekankan keperluan untuk memperkukuh penyelarasan antara agensi promosi pelaburan, mengadakan dialog berkala antara sektor awam dan swasta, serta membangunkan perkongsian praktikal yang berfokuskan projek.

Pandangan dan hasil perbincangan yang dikongsikan akan membantu dalam penyediaan pelan tindakan promosi pelaburan sub-rantau Invest Borneo dalam beberapa bulan akan datang.

Meja Bulat Perniagaan Borneo, yang mula diadakan pada 2023, merupakan sebahagian daripada Program Ekonomi Brunei, iaitu siri penglibatan tahunan yang dianjurkan oleh ASEAN-BAC NBD dan ABAC NBD bagi menghubungkan komuniti perniagaan, kerajaan dan rakan antarabangsa dalam membincangkan keutamaan ekonomi NBD, selaras dengan usaha mendukung Wawasan Brunei 2035.