Taklimat syarat, peraturan pengurusan tanah kebun teratur, bertanggungjawab

2 Okt 2026 - 6:28am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Bebuloh

PENGKALAN BATU, Khamis, 1 Oktober. - Lebih 100 pengusaha ladang kebun dari Kampung Bebuloh dan kampung-kampung di bawah Mukim Pengkalan Batu yang lain diingatkan supaya mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan pengurusan tanah kebun dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab.

Perkara tersebut ditekankan pada Perjumpaan dan Taklimat bagi Kelulusan Gazet Ladang Kebun Kampung Bebuloh yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Bebuloh, hari ini.

Perjumpaan tersebut dipengerusikan oleh Pemangku Ketua Kampung Bebuloh, Awang Muhd. Firdaus bin Haji Muhd. Said dan juga dihadiri Penghulu Mukim Pengkalan Batu, Awang Haji Arfan bin Haji Mohd Yusof serta Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK), Ahli Jawatankuasa Ladang Kebun dan para pengusaha kebun.

Taklimat memberi tumpuan kepada kelulusan gazet ladang kebun, syarat dan peraturan pengusahaan, pembayaran sewa tahunan serta persiapan bagi Majlis Penyampaian Sijil Kelulusan Gazet Ladang Kebun Kampung Bebuloh.

Antara perkara utama yang ditegaskan ialah tanah kebun tidak boleh dijual kepada mana-mana pihak. Jika pengusaha tidak lagi berkemampuan mengusahakannya, tanah berkenaan hendaklah diserahkan kepada waris terdekat seperti anak, adik-beradik atau ahli keluarga.

Sebarang pertukaran atau penyerahan tanah juga hendaklah terlebih dahulu dimaklumkan kepada Ahli Jawatankuasa Ladang Kebun untuk penilaian dan kelulusan. Pertukaran milik tanpa kelulusan MPK Kampung Bebuloh dan Ahli Jawatankuasa Ladang Kebun adalah tidak sah.

Para pengusaha turut diwajibkan memastikan tanah kebun sentiasa diusahakan secara aktif serta menjaga kebersihan kawasan masing-masing dan pembakaran secara terbuka ketika musim kemarau dan cuaca panas adalah tidak dibenarkan tanpa pengawasan pengusaha.

Sebahagian besar dari kawasan ladang kebun berkenaan diusahakan secara persendirian, manakala sebahagian lagi diusahakan secara berkelompok.

Taklimat berkenaan diharap dapat memperkukuh kefahaman dan tanggungjawab para pengusaha dalam mengurus kawasan ladang kebun, di samping memastikan penggunaannya kekal teratur, bersih dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.