Syarikat dikompaun membuang bekas minyak, sisa ke dalam longkang

14 Okt 2026 - 5:40am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Tutong

 

TUTONG, Selasa, 13 Oktober. - Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong (JDT) telah mengeluarkan denda kompaun terhadap sebuah syarikat kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) atas kesalahan membuang bekas minyak dan menyalirkan sisa ke dalam longkang sehingga menimbulkan bau busuk di tempat awam.  

Syarikat berkenaan iaitu Restoran dan Katering Salmaniya, didapati melakukan kesalahan tersebut di Bangunan Central Mall, Kampung Petani, Tutong dan dikenakan denda kompaun sebanyak BND2,000 di bawah Bab 12(1)(c). Syarikat berkenaan dikehendaki untuk menjelaskan denda kompaun dalam tempoh tujuh hari.

Jika gagal membayar denda berkenaan dalam masa tujuh hari dari tarikh denda kompaun dikeluarkan maka syarikat berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada BND2,000 dan tidak melebihi BND10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada BND10,000 dan tidak melebihi BND30,000 dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Unit Penguatkuasaan, JDT ingin mengingatkan kepada orang ramai, pihak syarikat pemaju dan pemilik premis-premis perniagaan agar sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah sarap di tempat awam.