Memperkasa organisasi, institusi bagi mewujudkan persekitaran inklusif

14 Okt 2026 - 6:31am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

KIARONG, Selasa, 13 Oktober. -  Pelaksanaan Program Disability Inclusive Training : Brunei Disability Camp 2026 ini bukan sekadar satu aktiviti bersama tetapi ia merupakan satu wadah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai hak-hak Orang Kelainan Upaya (OKU) berdasarkan prinsip kesaksamaan dan hak asasi manusia.

Melalui program berkenaan, ia juga sekali gus sebagai usaha untuk terus memperkukuh kapasiti organisasi dan institusi dalam menyediakan persekitaran yang lebih inklusif, mudah diakses dan bebas diskriminasi.

Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Penasihat Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU), Awang Haji Abdul Alim bin Awang Haji Othman semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Pelancaran Program Disability Inclusive Training : Brunei Disability Camp 2026 bertempat di Bangunan The FORUM, Blok 'B', Tingkat 3, (satu bangunan dengan Pejabat Progresif Sdn. Bhd.), Simpang 137-65, Kampung Kiarong, Jalan Pasar Baru Gadong, pagi tadi.

Jelasnya lagi, di samping itu, ia bertujuan untuk menggalakkan penyertaan penuh OKU dalam bidang pendidikan, pekerjaan, sosial, ekonomi dan pembangunan ekonomi dan memberikan pendedahan mengenai komunikasi yang efektif, etika, interaksi dan pendekatan yang sesuai ketika berurusan dengan individu OKU.

Selain itu tambahnya, tujuan program berkenaan juga diadakan agar dapat memupuk budaya masyarakat yang lebih prihatin, hormat dan inklusif terhadap kepelbagaian keupayaan manusia.

Menyentuh mengenai hasil yang diharapkan melalui program berkenaan nanti, Awang Haji Abdul Alim turut berkata, antara yang diharapkan adalah peningkatan tahap kesedaran dan sensitiviti peserta terhadap isu-isu berkaitan OKU; adanya perubahan positif dari segi sikap, tingkah laku dan budaya kerja yang lebih inklusif; dan juga peningkatan keupayaan organisasi dalam menyediakan persekitaran yang mesra OKU.

''Begitu juga, antara hasil yang diharapkan nanti ialah adanya pengurangan diskriminasi dan halangan sosial terhadap penyertaan OKU dalam masyarakat; dan wujudnya pengukuhan kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta, organisasi masyarakat sivil dan komuniti OKU; serta membolehkan dalam membantu proses membuat keputusan yang lebih inklusif dan berfokus kepada kesejahteraan semua lapisan masyarakat,'' ujarnya lagi.

Di akhir ucapan, beliau antaranya turut menambah bahawa walaupun program berkenaan kelihatan sederhana namun impaknya boleh menjadi sebahagian daripada usaha yang lebih besar dalam merealisasikan aspirasi Wawasan Brunei 2035 demi sama-sama ke arah mewujudkan masyarakat yang mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta kehidupan yang sihat, aktif dan sejahtera.