Situasi pemantauan kejadian air kemerah-merahan

14 Okt 2026 - 6:42am

Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Perikanan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Jabatan Perikanan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri ingin memaklumkan bahawa hasil daripada pemantauan pihak Jabatan Perikanan dengan kerjasama Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Markas Angkatan Bersama (MAB), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta laporan analisis makmal yang telah dijalankan pada 11 hingga 13 Oktober 2026 mendapati bahawa organisma penyebab air kemerah-merahan, iaitu Pyrodinium Bahamense masih dikesan di perairan pesisir pantai Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara.

Sehubungan itu, Jabatan Perikanan sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi nasihat dan arahan keselamatan yang telah dikeluarkan, serta tidak mengambil atau memakan ikan-ikan kecil seperti aur-aur, tamban, basong-basong, pusu dan kuasi, serta bubuk dan semua jenis kerang-kerangan dan juga sebarang ikan yang dijumpai mati, terutamanya dari kawasan perairan Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terjejas.

Ikan-ikan berkenaan berisiko dicemari toksin yang dihasilkan oleh organisma penyebab air kemerah-merahan, di mana pendedahan kepada toksin ini boleh menyebabkan keracunan manusia dengan gejala seperti cirit-birit, muntah-muntah, kebas dan kelumpuhan otot, serta dalam kes yang serius, boleh menyebabkan kematian.

Para nelayan juga adalah dilarang sama sekali menangkap ikan-ikan kecil atau mengutip kerang-kerangan dari kawasan perairan NBD yang terjejas. Sebagai langkah berjaga-jaga, para penjual ikan turut dinasihatkan supaya tidak menjual ikan-ikan kecil yang disenaraikan, khususnya yang diperoleh dari kawasan yang terjejas oleh air kemerah-merahan. Kerjasama para nelayan dan penjual ikan adalah amat penting bagi memastikan ikan-ikan yang berisiko tidak dipasarkan kepada orang ramai.

Selain itu, orang ramai juga diingatkan supaya mengelakkan penggunaan air laut dari kawasan terjejas serta tidak melakukan sebarang aktiviti air, termasuk mandi atau berenang, di kawasan pesisir pantai berkenaan sehingga pemberitahuan selanjutnya.

Dalam hal ini, Jabatan Perikanan akan terus melaksanakan pemantauan penjualan ikan di pasar-pasar basah bagi memastikan tiada penjualan ikan-ikan yang ditegah. Jabatan Perikanan juga ingin menegaskan bahawa pematuhan terhadap nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh jabatan adalah amat penting bagi melindungi kesihatan serta keselamatan orang ramai sepanjang kejadian air kemerah-merahan ini.

Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarluaskan maklumat yang belum disahkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan awam.

Orang ramai, khususnya para nelayan dan pengusaha sangkar ikan, juga digalakkan untuk melaporkan sebarang perubahan warna air atau penemuan ikan mati dalam jumlah yang banyak di kawasan perairan dan pesisir pantai NBD. Sebarang laporan atau pertanyaan boleh disalurkan melalui talian +673 2770068 pada waktu bekerja, talian hotline +673 8984526, atau e-mel enquiry@fisheries.gov.bn.

Jabatan Perikanan, dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan, akan terus mempergiat pemantauan terhadap kejadian air kemerah-merahan ini serta menyalurkan maklumat rasmi dan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Kerjasama semua pihak dalam mematuhi nasihat dan menyalurkan sebarang laporan kejadian adalah amat dihargai bagi membantu usaha pemantauan serta melindungi kesihatan dan keselamatan awam.