Siaran Akhbar dan Foto : Sekolah Rendah Amar Pahlawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 27 September. - Sekolah Rendah Amar Pahlawan (SRAP) baru-baru ini mengadakan Sambutan Hari Literasi 2026 bertemakan ‘Book Characters’, yang bertujuan untuk memupuk minat membaca serta memperkukuh budaya membaca dalam kalangan murid.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Superintenden 2, Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Norwen binti Haji Brahim.
Turut hadir ialah barisan pemimpin sekolah dan guru-guru fokus dari Kluster 1 hingga 6, wakil CfBT Education Services Sendirian Berhad, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Dayang Hajah Noorliah binti Haji Aspar, wakil NGO dan mantan pemimpin sekolah.
Untuk makluman, SRAP merupakan salah sebuah sekolah rintis yang terpilih untuk melaksanakan Reading School Project pada tahun 2025, anjuran Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS) dengan kerjasama CfBT Education Services Sdn. Bhd.
Projek tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan tahap literasi dalam kalangan murid serta menyokong pembangunan budaya membaca di sekolah dan di rumah. Sejajar dengan usaha tersebut, SRAP terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif ‘Reading Hub’ melalui pelbagai program dan aktiviti yang menggalakkan murid membaca secara konsisten.
Sambutan Hari Literasi 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya ‘Read and Relax’, yang memberi peluang kepada murid dan guru untuk meluangkan masa membaca bersama dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.
Selain itu, Pertandingan Book Character turut diadakan, memberikan peluang kepada murid untuk menampilkan kreativiti mereka melalui peragaan watak-watak daripada buku pilihan masing-masing.
Turut hadir ialah Pauline Chan, yang aktif dalam mempromosikan sastera kanak-kanak dan budaya membaca di Negara Brunei Darussalam. Beliau menerima sijil penghargaan daripada SRAP atas sumbangan beliau dalam menggalakkan budaya membaca.
Beliau juga menerima sijil penghargaan daripada CfBT Education Services Sdn. Bhd. atas usaha dan sumbangan beliau dalam mempromosikan serta mengembangkan cerita buku di negara ini.
Pelaksanaan program Reading Hub di SRAP merangkumi pelbagai aktiviti seperti Read and Relax, aktiviti membaca, cabaran membaca, program berkaitan buku serta penglibatan ‘Reading Hub Ambassadors’, yang memberi peluang kepada murid untuk membina minat dan keyakinan dalam membaca.
Usaha tersebut juga selaras dengan komitmen sekolah untuk menjadikan membaca sebagai sebahagian daripada kehidupan harian murid, bukan sahaja di sekolah malah turut diteruskan di rumah dengan sokongan keluarga.
Sambutan Hari Literasi 2026 dikendalikan melalui kerjasama Jawatankuasa Reading Hub, guru-guru, kakitangan sekolah, PIBG, Reading Hub Ambassadors dan murid-murid, dengan sokongan serta bimbingan pihak kepimpinan sekolah.
Sambutan tersebut diharap dapat terus menyemarakkan minat membaca dalam kalangan murid serta memperkukuh usaha sekolah dalam membangunkan budaya membaca yang berterusan.